DI sebalik sisi moden Kuala Lumpur yang dihiasi bangunan pencakar langit dan pembangunan moden, tersimpan khazanah warisan yang menceritakan sejarah, identiti serta keunikan budaya masyarakat tempatan.
Antara destinasi baharu yang mengangkat kekayaan tersebut ialah Muzium Tekstil Merdeka (MTM), sebuah ruang pameran yang membawa pengunjung menyelami keindahan seni tekstil alam Melayu menerusi himpunan busana tradisional, perhiasan dan hasil seni pertukangan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Terletak di bangunan Look At 118, dalam kawasan Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur, muzium berkenaan mempunyai lokasi cukup istimewa kerana terletak bersebelahan Stadium Merdeka yang menjadi saksi kepada detik pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Menurut Kurator MTM, Suryani Senja Alias, kehadiran muzium tersebut melengkapkan kawasan berkenaan sebagai sebuah destinasi yang menghimpunkan sejarah, kebudayaan dan pembangunan moden dalam satu persekitaran.
“Muzium ini mengangkat tema The Malay World in Threads and Tales atau Alam Melayu dalam Jalinan Benang dan Cerita, institusi berkenaan membawa pendekatan berbeza dalam memperkenalkan warisan tekstil kepada masyarakat.
“Keistimewaannya bukan sekadar terletak pada koleksi kain dan pakaian tradisional yang dipamerkan, sebaliknya setiap helaian tekstil mempunyai kisah tersendiri berkaitan sejarah, kepercayaan, kedudukan sosial, adat resam serta kehidupan masyarakat yang menghasilkannya,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di MTM baru-baru ini.

Muzium yang dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. itu secara rasmi dilancarkan pada 21 Ogos lalu oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Tambahnya, antara tarikan utama muzium itu ialah koleksi peribadi Allahyarham Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz, seorang tokoh budaya dan penyelidik warisan Melayu yang banyak menyumbang kepada usaha mendokumentasikan seni tekstil serta busana tradisional.
Koleksi berkenaan merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional yang disumbangkan oleh keluarga beliau.

Antaranya termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas yang memperlihatkan kehalusan seni pertukangan serta kreativiti masyarakat terdahulu.
Himpunan tersebut turut mencerminkan minat mendalam Azah Aziz terhadap warisan busana Melayu yang pernah didokumentasikan menerusi karya pentingnya, Rupa & Gaya: Busana Melayu.
Kongsi Suryani lagi penulisan berkenaan menjadi antara sumber inspirasi dalam pembentukan naratif pameran muzium itu.
Lebih menarik, muzium tersebut mempunyai lapan galeri bertema berbeza yang membawa pengunjung meneroka evolusi tekstil Alam Melayu daripada aspek sejarah, teknik pembuatan, motif dan pengaruh budaya.
“Pengunjung berpeluang mengenali pelbagai hasil seni tekstil seperti songket, batik, tenunan, sulaman dan tekat emas yang memerlukan ketelitian serta kemahiran tinggi.
“Setiap corak dan motif yang dihasilkan bukan sekadar elemen hiasan, malah mempunyai makna tersendiri yang berkait rapat dengan kepercayaan dan identiti masyarakat,” ujarnya.

Katanya lagi, keunikan lain yang membezakan muzium itu daripada ruang pameran tradisional ialah penggunaan teknologi digital dan pengalaman interaktif.
Elemen realiti terimbuh (AR), penceritaan visual serta pendekatan multisensori digunakan bagi menghidupkan kisah di sebalik koleksi yang dipamerkan.
Pendekatan tersebut menjadikan pengalaman mengunjungi muzium lebih menarik, khususnya kepada generasi muda yang mungkin kurang terdedah kepada seni tekstil tradisional.
Gabungan pencahayaan, bunyi, tekstur dan susun atur ruang turut membantu mewujudkan pengalaman yang lebih dekat dengan warisan berkenaan.
Selain ruang pameran, MTM turut dilengkapi pusat kajian yang merangkumi makmal konservasi, perpustakaan fabrik dan pusat pengetahuan tekstil. Kemudahan itu membuka peluang kepada penyelidik, pelajar serta penggiat seni untuk mendalami bidang tekstil secara lebih terperinci.
“Secara keseluruhannya, MTM bukan sekadar destinasi untuk melihat keindahan pakaian tradisional, sebaliknya menjadi ruang memahami perjalanan budaya dan identiti masyarakat alam Melayu,” tambahnya.
















