MELAKA – Sebanyak 301 kesalahan pilihan raya direkodkan sepanjang tempoh 14 hari berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesalahan direkodkan antaranya membabitkan pemasangan poster dan sepanduk di kawasan yang tidak dibenarkan, termasuk di persimpangan jalan sehingga berpotensi menghalang lalu lintas.
“Ia membabitkan kesalahan berkaitan bahan kempen dan sebagainya, contohnya pemasangan poster atau sepanduk di kawasan yang tidak sepatutnya, termasuk di persimpangan jalan yang mungkin menghalang lalu lintas,” katanya selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
DUN Kesidang mempunyai 54,910 pemilih berdaftar, manakala pusat mengundi berkenaan menyediakan 13 saluran bagi membolehkan orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing seawal 8 pagi.
Secara keseluruhan, 240 pusat mengundi disediakan di seluruh 28 DUN di Melaka dan ia dijadual ditutup pada 6 petang ini.
Pada masa sama, Ramlan berkata, SPR mahu semua parti politik meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan peraturan pemasangan bahan kempen kerana sebarang pelanggaran boleh mengundang risiko kemalangan.
Beliau berkata, SPR juga berharap jumlah kesalahan pilihan raya dapat dikurangkan pada masa depan bagi memastikan proses berkempen berjalan lebih lancar.
“Kita harap pada masa akan datang kita akan kurangkan lagi. Jumlah 301 itu saya tidak boleh kata ia satu angka yang rendah,” katanya.
















