PETALING JAYA- Seorang ibu tunggal terus diuji dengan kehilangan anak tersayang apabila kedua-dua putera tercinta meninggal dunia dalam tempoh setahun termasuk hari ini melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun ekoran menghidap penyakit kanser tulang tahap empat.
Menurut Nurul Huda Ruslan, 43, tahun lalu, dia telah kehilangan anak sulung pada usia 19 tahun akibat mati mengejut semasa menuntut di sebuah universiti swasta.
“Pada Oktober tahun lalu, anak sulung saya yang mengikuti pengajian bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disahkan meninggal dunia secara mengejut.
“Selepas beberapa bulan, adiknya yang merupakan anak ketiga saya iaitu Muhammad Dhiya Uddin Mohd. Najib disahkan menghidap kanser tulang tahap empat sebelum menghembuskan nafas terakhir hari ini,” katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan usaha akhbar ini untuk membantu seorang pelajar cemerlang yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 berakhir apabila remaja yang menghidap kanser tulang tahap 4 itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Nurul Huda berkata, anak ketiganya itu meninggal dunia ketika berada di rumah dan kejadian itu disedarinya selepas terjaga dari tidur untuk mengerjakan solat subuh.
Katanya, anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat zohor hari ini
Semalam, Kosmo! berkesempatan menemubual Udin bagi melaporkan kisahnya yang terpaksa membatalkan hasrat menduduki SPM 2026 selepas menghidap kanser tulang tahap 4.
Allahyarham yang merupakan antara pelajar harapan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang disahkan menghidap penyakit itu pada Disember lalu. – KOSMO! ONLINE
















