MELAKA TENGAH – Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama, seorang penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sanggup berhabis RM700 untuk membeli tiket penerbangan pergi dan balik dari Sarawak ke Melaka.
Pengorbanan itu dilakukan Ashira Dania Mohd Hairun, 20, yang tidak mahu melepaskan peluang memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.
Pelajar tahun pertama jurusan Sains Sosial itu berkata, dia teruja untuk pulang ke kampung halamannya di Taman Seri Duyong 2 di sini, meskipun terpaksa mengeluarkan kos perjalanan yang agak tinggi.
Menurutnya, pengalaman mengundi buat kali pertama menjadi antara sebab utama dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan tersebut.
“Kos pergi dan balik saya beli tiket penerbangan dalam RM700. Saya bangun seawal jam 6.30 pagi dan bersiap-siap untuk keluar mengundi.
“Saya juga ditemani kakak dan saudara-mara selain sepupu yang juga pertama kali mengundi,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, hari ini.
Mengulas harapannya terhadap wakil rakyat yang bakal dipilih, Ashira Dania mahu pembangunan di DUN berkenaan terus dipertingkatkan, selain lebih banyak peluang diberikan kepada golongan muda untuk menyertai program kemasyarakatan.
Katanya, penglibatan anak muda dalam pelbagai aktiviti komuniti penting bagi memastikan golongan berkenaan turut memainkan peranan dalam pembangunan kawasan setempat.
“Saya nak DUN ini lebih maju dan ada lagi ramai anak-anak muda terbabit dalam semua program supaya lebih ramai boleh sertai program dekat Duyong ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ashira Dania menyeru golongan muda khususnya Gen Z supaya tidak mensia-siakan peluang mengundi dengan keluar awal menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Jangan tunggu tengah hari baru mengundi. Jangan bangun petang-petang, jangan sampai mak marah suruh keluar mengundi. Keluarlah mengundi sekarang,” katanya.-KOSMO! ONLINE
















