PETALING JAYA – Nama isteri tertera pada geran rumah, tetapi bekas suami masih boleh menuntut bahagian kediaman itu sebagai harta sepencarian sekiranya mempunyai bukti sumbangan sepanjang tempoh perkahwinan.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkata, bagaimanapun hak mengemukakan tuntutan harta sepencarian tidak bermakna seseorang secara automatik mempunyai hak untuk terus menduduki atau menguasai rumah berkenaan.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan pertelingkahan membabitkan pelakon, Syida Melvin dan bekas suaminya berhubung kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal mereka sepanjang perkahwinan.
Menurut Fahmi, hak milik berdaftar, hak menuntut harta sepencarian dan hak menduduki rumah merupakan tiga perkara berbeza yang perlu dinilai berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang.
“Walaupun rumah didaftarkan atas nama isteri seorang, bekas suami masih boleh mengemukakan tuntutan harta sepencarian jika mempunyai asas sumbangan yang boleh dibuktikan.
“Namun, ada satu perkara yang masyarakat perlu faham. Hak menuntut harta sepencarian tidak bermaksud seseorang itu secara automatik telah memperoleh hak milik tertentu atau hak eksklusif untuk menduduki rumah tersebut,” katanya menerusi perkongsian dalam kumpulan Telegram Nota Syarie by Fahmi Ramli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Seksyen 122(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pembahagian aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan melalui usaha bersama pasangan.
Malah, katanya, Seksyen 122(3) turut memperuntukkan kuasa pembahagian terhadap aset yang diperoleh melalui usaha tunggal salah satu pihak, tertakluk kepada pertimbangan undang-undang.
“Sumbangan yang diambil kira bukan hanya melibatkan wang atau bayaran ansuran rumah, sebaliknya boleh merangkumi sumbangan berbentuk harta, kerja serta sumbangan tidak langsung terhadap kebajikan keluarga.
“Bagaimanapun, persoalan sama ada bekas suami boleh terus tinggal di rumah berkenaan tidak boleh diputuskan hanya berdasarkan dakwaan bahawa kediaman itu merupakan harta sepencarian,” katanya.
Fahmi berkata, pemilik berdaftar juga tidak semestinya boleh mengusir penghuni secara paksa tanpa mengambil kira kedudukan undang-undang, hak pendudukan atau perintah mahkamah yang berkuat kuasa.
Katanya, Seksyen 199(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 memberikan kuasa kepada mahkamah membuat perintah berkaitan penahanan, pemeliharaan atau penjagaan harta yang menjadi perkara dalam sesuatu prosiding.
Selain itu, jelasnya, Seksyen 200(1) akta sama turut memperuntukkan kuasa mahkamah memberikan injunksi dalam sesuatu kausa atau perkara.
“Peruntukan ini penting kerana pihak-pihak boleh mendapatkan perlindungan sementara yang sesuai ketika pertikaian harta masih berjalan.
“Walau bagaimanapun, kita perlu membezakan antara perintah memelihara harta, perintah injunksi dan perintah mendapatkan kembali penguasaan atau pengosongan rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















