PETALING JAYA – Hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi sebelum pentas berprestij Eurovision Song Contest Asia 2026 membuka tirainya malam ini, penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul merayu sokongan padu seluruh rakyat Malaysia bagi membantunya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Menurut pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani, 33, itu, meski terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, dia menyifatkan perkara tersebut banyak mematangkan dirinya bagi mencapai kejayaan.
“Ini mungkin kali pertama saya buat video seperti ini kerana tidak pernah meluahkan perasaan di hadapan kamera. Tetapi hari ini, saya sangat memerlukan sokongan daripada kalian semua, tak kisahlah minat saya atau tidak.
“Saya tahu dalam hidup ini, ada yang mungkin pernah dengar saya menyanyi, tidak pernah dan mungkin juga tak tahu siapa Aina Abdul.
“Di sini, saya menyeru anda semua memberikan sokongan padu dan tidak terhingga kepada saya. Kalau bukan anda semua, siapa lagi mahu menyokong,” katanya dalam sebuah video.
Dia menyeru rakyat Malaysia agar bersatu hati menyokong dirinya sebagai wakil tunggal yang bakal berentap di pentas berprestij tersebut.
“Kita rakyat Malaysia kena saling membantu anak jati sendiri kerana hanya ada seorang sahaja wakil negara untuk tahun ini.
“Jadi, sokonglah dengan sebaiknya menerusi doa dan undian yang tidak putus-putus,” katanya lagi.
Dalam perkongsian sama, dia sempat menzahirkan penghargaan buat kelab peminatnya, Aination dan rakan-rakan industri yang tidak henti memberi semangat termasuk mereka yang sanggup terbang ke Bangkok, Thailand demi memberi sokongan secara langsung.
“Terima kasih kepada Aination yang sanggup datang dari Malaysia ke Bangkok dan tentunya buat peminat yang menyokong dari jauh. Saya sangat menghargai usaha kalian memperkenalkan saya di mata dunia.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan artis atas sokongan terhadap penyertaan saya ini. Hanya Allah mampu membalas jasa anda,” katanya lagi.
Sementara itu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mendoakan kejayaan Aina yang akan bertanding hari ini.
“Doa dan sokongan kami buat Aina yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Ayuh Sitizoners seluruh alam,” ujarnya dalam satu hantaran Instagram.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menzahirkan kata-kata semangat buat Aina yang berpendapat pentas pertandingan tersebut menjadi platform buat penyanyi tempatan memperkenalkan bakat dan karya di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Aina melancarkan karya terbaharunya berjudul Bluest Sky yang akan dipertaruhkan di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok malam ini.
Selain Malaysia, pentas berprestij itu turut menyaksikan saingan sengit daripada beberapa negara Asia lain antaranya tuan rumah, Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan. – KOSMO! ONLINE
















