Gambar hiasan

[VIDEO] Bagasi misteri depan KLCC, lelaki 40 tahun ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan polis selepas penemuan sebuah beg bagasi mencurigakan di sebuah hentian bas di hadapan bangunan KLCC, Jalan Ampang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan bagasi berkenaan pada pukul 7.17 malam.

Menurut beliau, susulan laporan itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan UPB, Unit K9 dan
Forensik Polis Kuala Lumpur telah hadir ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dalam bagasi
tersebut.

“Susulan itu, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-
2146 0522 / 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular di Threads apabila pengguna memuat naik hantaran mempersoal kehadiran pasukan polis dan kesesakan lalu lintas di sekitar pintu masuk utama KLCC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN