WASHINGTON – Semua penerbangan di Amerika Syarikat(AS) dihentikan semalam, menyebabkan perjalanan menjadi kucar-kacir selepas pegawai-pegawai kerajaan mengumumkan berlaku gangguan komunikasi serius tetapi menolak ia disebabkan ‘serangan jahat’.
Penutupan penerbangan di seluruh negara itu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas, dengan sebilangan mereka dikeluarkan dari pesawat beberapa saat sebelum berlepas oleh kakitangan syarikat penerbangan yang kelihatan tidak tahu tentang apa yang berlaku.
Insiden itu menandakan kali kedua amaran sedemikian dikeluarkan di ruang udara AS sejak serangan 11 September.
“Jadi kononnya, tiada siapa boleh terbang tetapi mereka belum memberitahu orang awam lagi.
“Kami berbelah bahagi sama ada perlu menjadualkan semula penerbangan atau memandu atau apa sahaja, tetapi jika seluruh negara lumpuh, ini bermakna lebuh raya juga akan sesak,” kata Joseph Anderson, 72, yang berang ketika cuba menaiki penerbangan dari Las Vegas ke Oakland, California.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) ‘mengeluarkan arahan larangan penerbangan untuk semua lapangan terbang AS berikutan masalah komunikasi yang menjejaskan semua Pusat Kawalan Trafik Laluan Udara.
“Juruteknik FAA sedang menyiasat masalah tersebut,” katanya.
Dalam mesej seterusnya di platform X, FAA menggambarkan masalah itu sebagai ‘gangguan telekomunikasi sementara’, manakala pihaknya bertindak atas dasar ‘langkah berjaga-jaga yang tinggi.’
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Markwayne Mullin berkata, tiada tanda ancaman terhadap Amerika Syarikat.
“’Ini bukan satu lagi peristiwa 11 September.
“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa masalah ini berpunca daripada serangan jahat terhadap kami, ia hanya gangguan telekomunikasi, setakat ini,” kata Mullin sambil menambah, pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak sebarang kemungkinan buat masa ini.
Terdapat penutupan penerbangan singkat di seluruh negara pada Januari 2023 apabila sistem pemberitahuan juruterbang gagal, tetapi satu-satunya penutupan penerbangan di peringkat nasional sebenar berlaku susulan serangan 11 September 2001, apabila tiada pesawat berlepas ke udara selama berhari-hari.
Arahan FAA semalam itu dibuat sehari selepas Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy secara rasmi meminta AS$$30 bilion (RM134 bilion) daripada Kongres untuk menaik taraf dan memodenkan Sistem Kawalan Trafik Udara AS. – AFP
















