SIASATAN terperinci akan dilakukan selepas FAM menerima laporan rasmi daripada kedua-dua pasukan. - FB KUCHING CITY

FAM terima laporan rasmi insiden di Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima laporan rasmi daripada Kuching City FC dan Selangor FC berhubung insiden kekecohan pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Sarawak Ahad lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, laporan daripada kedua-dua pasukan itu akan diteliti dan ditangani berdasarkan peraturan serta prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.

“Laporan berkenaan akan diteliti berserta laporan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara ini dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur.

“Pada 10 November, MFL telah menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden itu kepada FAM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kekecohan tercetus antara kedua-dua pasukan ketika aksi separuh akhir kedua itu apabila pemain Kuching City, Nazmi Faiz Mansor didakwa melakukan provokasi selepas The Cats menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir.

Justeru, Noor Azman menegaskan, badan induk itu tidak mengambil mudah insiden seperti itu kerana ia melibatkan keselamatan pemain selain mampu mencemarkan imej bola sepak negara.

“FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara. Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti berdasarkan peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN