KUALA LUMPUR – “Kita yakin bahawa rakyat mahukan supaya keputusan itu berpihak kepada BN dan PN.”
Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung peluang kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua parti yang bertanding pastinya mempunyai keyakinan masing-masing untuk memperoleh kemenangan, namun keputusan sebenar hanya akan diketahui selepas proses pengundian selesai.
“Awak tanya saya, saya kata BN-PN menang. Awak tanya belah sana, dia juga akan kata dia menang. Jadi sama-samalah tunggu hari mengundi nanti.
“Tetapi kita yakin bahawa rakyat mahukan supaya keputusan itu berpihak kepada BN dan PN,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Pada PRN Melaka ke-15, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Bagi PRN kali ini, BN dan PN menjalinkan kerjasama strategik dengan BN bertanding di 23 kerusi DUN manakala PN di lima kerusi. – KOSMO! ONLINE
















