PETALING JAYA – Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM103 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, naik lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu disokong peningkatan hasil kira-kira 14 peratus kepada RM1.25 bilion, manakala keuntungan operasi melonjak lebih lima kali ganda kepada RM120 juta.
Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, PAT meningkat 83 peratus kepada RM33 juta berbanding RM18 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat kira-kira 20 peratus kepada RM645 juta, manakala keuntungan operasi naik hampir tiga kali ganda kepada RM40 juta.
Hartalega dalam kenyataan hari ini berkata, peningkatan prestasi kewangan itu didorong harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi serta pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos secara berterusan, termasuk kawalan perbelanjaan lebih ketat dan peningkatan kecekapan pengeluaran.
Langkah berkenaan membantu mengimbangi kenaikan kos pengeluaran, khususnya bahan mentah susulan gangguan bekalan akibat ketegangan geopolitik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, strategi dan langkah yang dilaksanakan bagi menghadapi keadaan pasaran mencabar mula menunjukkan hasil positif, khususnya menerusi transformasi operasi pembuatan.
“Langkah ini meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan berpotensi memberikan penambahbaikan lebih besar apabila diperluaskan ke seluruh kilang kumpulan berkenaan.
“Ia menyokong usaha kami meningkatkan jumlah pengeluaran tanpa pertambahan tenaga kerja pada kadar yang sama, sekali gus memperkukuh daya saing kos jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, lebihan kapasiti pengeluaran dalam industri terus mengehadkan penetapan harga, manakala bekalan sarung tangan dari China yang dialihkan ke pasaran bukan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan persaingan.
Bagaimanapun, tarif lebih tinggi yang dikenakan AS terhadap sarung tangan keluaran China serta hubungan kukuh dengan pelanggan sedia ada di negara itu membuka peluang kepada Hartalega meningkatkan jualan.
“Kami kekal fokus merebut peluang berkenaan sambil mengurus jurang antara harga jualan purata dengan kos, serta memperluaskan peningkatan kecekapan pembuatan di seluruh kilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















