Tangkap layar video tular insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di Kepong malam tadi,

‘Perbuatan ganas seperti ini tidak boleh diterima’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan warga asing yang berada di negara ini supaya sentiasa menghormati undang-undang Malaysia dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Melahirkan rasa kesal dan sedih dengan insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di Kepong malam tadi, beliau berkata sebarang ketidakpuasan hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas penguatkuasaan.

“Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata keselamatan rakyat dan anggota penguat kuasa adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Undang-undang mesti dihormati dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana individu,” katanya.

Beliau turut mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas susulan kejadian itu.

Saifuddin Nasution juga mendoakan anggota polis yang cedera dalam kejadian itu diberikan kesembuhan segera serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang terus menjalankan amanah demi keselamatan negara.

Dalam kejadian 4 petang semalam, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata anggota polis terbabit dibawa ke Hospital Selayang dan telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN