PENANTIAN 24 tahun atlet acara berpasukan untuk menikmati peningkatan ganjaran berakhir apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat emas daripada RM15,000 kepada RM40,000 untuk setiap atlet.
Kenaikan sebanyak 166.67 peratus itu bukan sahaja memberi pengiktirafan lebih setimpal terhadap pengorbanan atlet, malah menamatkan tempoh panjang tanpa sebarang semakan kadar ganjaran bagi acara berpasukan sejak 2002.
Perkembangan itu hadir susulan luahan tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi yang melahirkan rasa terkilan apabila hanya menerima RM15,000 atas kejayaan membantu Malaysia meraih emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, berbanding RM80,000 bagi pemenang emas acara individu.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan menaikkan kadar SHAKAM itu sudah dibentangkan dan diluluskan Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai langkah menghargai pencapaian atlet serta memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Menurutnya, kali terakhir semakan bagi acara individu dilakukan pada 2010, manakala kadar ganjaran acara berpasukan kekal sejak 2002 dan lebih menarik, setiap atlet yang memenangi pingat dalam acara membabitkan lebih daripada seorang peserta akan menerima 50 peratus daripada nilai ganjaran pingat acara individu.
“Pembangunan sukan negara semakin pesat, khususnya dalam acara berpasukan. Kita melihat bagaimana persatuan sukan berusaha memastikan atlet mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran ditetapkan.
“Kita juga perlu memberikan suntikan semangat baharu kepada atlet supaya mereka terus berusaha memberikan yang terbaik untuk negara, selain memastikan kebajikan dan ganjaran mereka terjamin,” katanya pada sidang media SHAKAM di Menara KBS, Putrajaya, semalam.
Selain emas, ganjaran pingat perak acara berpasukan turut menyaksikan peningkatan ketara apabila dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Lebih penting, kadar baharu itu bukan sekadar pemberian khas untuk satu temasya, sebaliknya menjadi kadar tetap yang akan diguna pakai bagi tahun ini dan temasya akan datang, termasuk Sukan Asia, Sukan Para Asia serta Sukan Komanwel.
Taufiq berkata, pelaksanaan semakan itu membabitkan 66 atlet daripada 10 pasukan dan enam persatuan sukan kebangsaan, sekali gus memberi manfaat kepada atlet dalam sukan sepak takraw, hoki, skuasy, e-sukan, berbasikal trek dan karate.
Dari sudut kewangan, pelaksanaan kadar baharu itu membabitkan tambahan peruntukan RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), manakala peruntukan berkaitan meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta.
Bagaimanapun, Taufiq memberi jaminan peningkatan peruntukan itu tidak akan menjejaskan program pembangunan, latihan dan penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa, termasuk di luar negara.
Untuk rekod, SHAKAM diperkenalkan pada 1986 dan jumlah keseluruhan ganjaran tahun ini meningkat kepada RM6.69 juta, iaitu tahun kedua tertinggi sejak skim berkenaan diperkenalkan.
















