ADA yang menyimpan untuk yuran persekolahan anak. Ada yang mengumpul wang bagi membaiki rumah, menambah modal perniagaan atau memenuhi keperluan keluarga. Walaupun tujuannya berbeza, persoalannya hampir sama: sementara wang itu belum digunakan, di manakah tempat yang sesuai untuk menyimpannya?
Menjelang penghujung tahun, ramai mula menyusun perbelanjaan untuk tahun berikutnya. Inilah masa yang sesuai untuk menilai semula wang yang telah diketepikan. Selain jumlah simpanan, perkara yang wajar diberi perhatian ialah cara wang tersebut menjana pulangan dan bila ia perlu digunakan.
Wang untuk kegunaan kecemasan misalnya, perlu mudah dikeluarkan. Bagi wang yang tidak diperlukan dalam masa terdekat, anda boleh mempertimbangkan pilihan yang menawarkan pulangan lebih baik dengan syarat wang disimpan untuk tempoh tertentu.
Sebab itu, kadar pulangan yang dipaparkan dalam sesuatu tawaran perlu dilihat bersama syaratnya. Berapakah jumlah wang yang perlu diperuntukkan? Adakah modal dijamin? Apakah kesannya jika wang dikeluarkan lebih awal?
Jawapan kepada soalan ini membantu pelanggan membuat pilihan yang lebih sesuai dengan keadaan mereka.
Kempen Muamalat+ dan Revive+ oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad mengetengahkan dua pilihan produk patuh syariah, iaitu Akaun Berjangka Tetap-i (FTA-i) dan Akaun Pelaburan Berjangka-i (TIA-i).
Kedua-duanya memerlukan dana disimpan selama 12 bulan, namun kontrak syariah, terma dan syarat adalah berbeza dari segi modal dan keuntungan.
Memahami bagaimana keuntungan tetap dijana
Bagi pelanggan yang mengutamakan kepastian pulangan, Akaun Berjangka Tetap-i atau Fixed Term Account-i (FTA-i) menawarkan jaminan modal serta keuntungan tetap yang diketahui lebih awal, tertakluk kepada terma dan syarat produk.
Keuntungan ini berasaskan konsep Tawarruq, iaitu kontrak patuh syariah yang berasaskan urus niaga komoditi. Melalui mekanisme ini, kadar keuntungan ditetapkan lebih awal, membolehkan pelanggan mengetahui pulangan yang bakal diterima pada akhir tempoh simpanan.
Melalui urus niaga ini, jumlah keuntungan dipersetujui sejak awal. Pelanggan dapat mengetahui jumlah yang akan diterima daripada Bank apabila FTA-i mencapai tempoh matang, tertakluk kepada terma dan syarat yang berkenaan.
Untuk menyertai Muamalat+, pelanggan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam dana baharu. Daripada jumlah itu, RM10,000 ditempatkan dalam FTA-i, manakala RM5,000 lagi ditahan selama 12 bulan dalam akaun semasa atau simpanan yang layak, atau akaun pelaburan SURIA.
Kadar 4.00% setahun hanya terpakai kepada bahagian FTA-i. Baki RM5,000 menerima pulangan mengikut kadar semasa yang terpakai kepada akaun berkenaan. Oleh itu, pelanggan perlu mengambil kira pulangan keseluruhan bagi jumlah wang yang diperuntukkan.
Sebagai gambaran mudah, simpanan RM10,000 dalam FTA-i pada kadar 4.00% setahun menghasilkan keuntungan sekitar RM400. Pulangan bagi RM5,000 dalam akaun berasingan pula dikira mengikut terma akaun tersebut. Pengiraan sebenar tertakluk kepada bilangan hari dan syarat yang berkenaan.
Kenali maksud pulangan jangkaan
Bagi pelanggan yang memahami dan bersedia menerima risiko pelaburan, Kempen Revive+ menawarkan peluang melabur melalui Akaun Pelaburan Berjangka-i atau Term Investment Account-i (TIA-i). Dengan pelaburan minimum RM10,000 dana baharu bagi tempoh 12 bulan, produk ini menawarkan kadar keuntungan jangkaan sebanyak 4.10% setahun.
TIA-i berasaskan kontrak Wakalah bi al-Istithmar, iaitu pelantikan wakil untuk tujuan pelaburan. Pelanggan melantik Bank Muamalat untuk mengurus dan melaburkan wang mereka dalam aset patuh Syariah mengikut mandat yang dipersetujui.
Aset pendasarnya merangkumi portfolio Pembiayaan Peribadi-i, dan pulangan bergantung pada prestasi portfolio tersebut.
Perkataan ‘jangkaan’ perlu difahami dengan jelas. Sebagai ilustrasi, RM10,000 pada kadar jangkaan 4.10% bagi setahun penuh memberikan anggaran keuntungan sekitar RM410. Jumlah sebenar bergantung pada prestasi pelaburan. Modal dan keuntungan tidak dijamin, dan kerugian boleh melibatkan sebahagian atau keseluruhan modal.
Perlindungan bagi kedua-dua produk juga berbeza. FTA-i layak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli, tertakluk kepada peraturan yang berkenaan. TIA-i dan SURIA ialah akaun pelaburan dan tidak dilindungi oleh PIDM. Pelanggan di nasihatkan untuk membaca Risalah Pendedahan Produk (PDS) sebelum melabur.
Peluang tambahan untuk memenangi hadiah
Penempatan yang layak di bawah Muamalat+ dan Revive+ turut melayakkan pelanggan menyertai Save2Win 2026 secara automatik. Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM2.9 juta, termasuk jongkong emas seberat 1kg dan kereta SMART #5 Premium.
Kempen ini akan berlangsung sehingga 31 Disember 2026, dan tertakluk kepada terma dan syarat. Peluang memenangi hadiah ini merupakan manfaat tambahan; pemilihan produk tetap perlu berasaskan keperluan kewangan dan tahap kesediaan pelanggan menerima risiko.
Mulakan dengan tujuan wang itu disimpan
Sebelum memilih mana-mana produk, pelanggan perlu mempertimbangkan keperluan kecairan tunai masing-masing. Wang yang mungkin diperlukan dalam masa terdekat atau ketika kecemasan sebaiknya kekal mudah diakses, kerana pengeluaran sebelum tempoh matang boleh menjejaskan pulangan.
Bagi Muamalat+, pengeluaran pramatang melibatkan pelepasan keseluruhan keuntungan FTA-i yang dipersetujui melalui ibra’, tertakluk kepada terma dan syarat kempen. TIA-i pula mempunyai syarat penebusan awal tersendiri yang perlu difahami sebelum membuat pelaburan.
Kedua-dua kempen terbuka kepada individu dan pemilik perniagaan milikan tunggal yang layak, dan dijadualkan berlangsung sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma masing-masing. Pelanggan boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat untuk mendapatkan penerangan lanjut, termasuk penilaian kesesuaian pelaburan bagi TIA-i.
Akhirnya, pilihan yang sesuai bermula dengan memahami tujuan wang itu disimpan. Apabila matlamat dan tempoh penggunaannya jelas, lebih mudah untuk menilai pulangan, kepastian modal dan kemudahan mengeluarkan wang. Dengan perancangan yang teliti, simpanan hari ini dapat membantu memenuhi keperluan esok.
















