LISBON – Selepas hampir empat dekad hidup dalam kurungan, seekor gajah sarkas terakhir di Portugal yang dikenali sebagai Julie, kini mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu yang bebas dan tenang di sebuah santuari seluas 400 hektar di wilayah selatan Alentejo, lapor saluran berita Euro News.
Santuari Pangea, yang merupakan fasiliti berskala besar pertama seumpamanya di Eropah, kini menyaksikan peningkatan tahap kesihatan fizikal dan emosi mamalia gergasi tersebut sejak ketibaannya hampir empat bulan lalu.
Menurut penjaga gajah, Johnny Nascimento, Julie pada awalnya menunjukkan sifat pemalu dan berhati-hati dengan kawasan persekitaran yang asing baginya.
“Namun kira-kira seminggu kemudian, Julie mula membina keyakinan dan bebas memilih laluannya sendiri.
“Dia mula meneroka kawasan sekitar dan kini benar-benar menganggap santuari ini sebagai rumahnya,” katanya.
Pihak pengurusan memaklumkan Julie dipindahkan ke Alentejo pada Jun lalu susulan perjanjian sukarela bersama sarkas Victor Hugo Cardinali.
Sejak berpindah, berat badannya dilaporkan meningkat kira-kira 100 kilogram hasil diet seimbang dan ruang pergerakan yang luas, selain gemar menghabiskan masa berkubang di dalam kolam lumpur.
Rekod menunjukkan Julie ditangkap di Afrika sekitar 40 tahun lalu sebelum dibawa ke Portugal sewaktu masih kecil dan berkhidmat dengan sarkas Cardinali sejak 1988.
Portugal meluluskan undang-undang pengharaman penggunaan haiwan liar dalam persembahan sarkas pada 2018, namun pelaksanaannya hanya dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2024 bagi memberi tempoh peralihan kepada pengusaha sarkas untuk mencari penempatan baharu yang sesuai bagi haiwan terbabit. – AGENSI
















