PUCHONG – Penggunaan aplikasi MyMinyak menjadi benteng baharu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memastikan subsidi diesel dan petrol nelayan tidak terus bocor kepada pihak yang tidak layak.
Melalui sistem itu, nelayan perlu melalui proses pengesahan termasuk imbasan wajah sebelum membeli bahan api bersubsidi, sekali gus memperketat kawalan terhadap bantuan kerajaan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pendigitalan berkenaan penting memandangkan isu ketirisan subsidi minyak sudah lama berlaku dan memerlukan penyelesaian yang lebih berkesan.
Katanya, aplikasi itu membolehkan pembelian ditapis dengan lebih teratur bagi memastikan hanya nelayan berdaftar mendapat kemudahan berkenaan.
“Penggunaan aplikasi ini mengurangkan dan meminimumkan ketirisan sebab ia perlu melalui aplikasi. Ini akan memastikan nelayan yang benar-benar berdaftar sahaja yang layak untuk membeli,” katanya.
Bagaimanapun pelaksanaan sistem digital itu turut mengambil kira kemampuan nelayan berusia yang kurang biasa menggunakan aplikasi telefon pintar.
Beliau menambah, LKIM mengadakan sesi libat urus dan latihan sebelum pelaksanaannya bagi memastikan nelayan memahami kaedah baharu tersebut.
Persatuan nelayan turut memainkan peranan membantu ahli menggunakan aplikasi berkenaan, selain memantau kegiatan mereka di kawasan masing-masing.
Usaha tersebut turut menyumbang kepada pencapaian LKIM yang meraih Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 menerusi projek pengurusan subsidi nelayan menggunakan MyMinyak.
Pengiktirafan itu menjadi hadiah bermakna sempena ulang tahun ke-55 LKIM yang disambut di sini hari ini dan turut hadir Ketua Pengarahnya, Abdul Salim Tajudin.
Faiz berkata, usia 55 tahun menjadikan agensi itu semakin matang untuk menghadapi cabaran sektor perikanan yang memerlukan pendekatan lebih progresif.
“Pengiktirafan Anugerah Platinum RKB 2026 menerusi inisiatif MyMinyak membuktikan komitmen warga LKIM dalam mereformasikan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, pendigitalan kini menjadi teras operasi LKIM bagi memastikan pengurusan lebih telus, kebajikan nelayan terpelihara dan amanah kerajaan dipertahankan.
Dalam masa sama, LKIM mempergiat pembangunan akuakultur bagi memastikan bekalan ikan negara terus mencukupi walaupun sumber tangkapan laut semakin terhad.
Hampir 13 persatuan nelayan kini terlibat dalam akuakultur menerusi program 1P1P yang menyediakan latihan, kepakaran dan modal.
Persatuan nelayan turut digalakkan menghasilkan produk hiliran seperti ikan kering, belacan dan keropok bagi menambah pendapatan.
Faiz berkata, kadar sara diri ikan negara mencapai 90 peratus, manakala spesies yang tidak mencukupi ditampung melalui import terkawal.- KOSMO! ONLINE
















