Orang Asli di Kampung Peta berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan membuka akaun dengan bantuan kakitangan Agrobank.

Agrobank perluas akses khidmat kewangan, perlindungan takaful kepada Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selaras dengan matlamat untuk memperluas keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat, Agrobank baru-baru ini mendekati komuniti Orang Asli di Kampung Peta, Endau, Mersing menerusi program CSR yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan, perlindungan takaful dan sokongan pendidikan.

Kampung Peta merupakan perkampungan Orang Asli Jakun yang dihuni kira-kira 370 penduduk daripada 126 keluarga. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar menjadikan akses kepada perkhidmatan kewangan formal satu cabaran bagi komuniti setempat.

Bagi membantu menangani cabaran ini, Agrobank menyediakan bimbingan pengurusan kewangan dan penggunaan perkhidmatan digital, selain kemudahan pembukaan akaun tanpa memerlukan penduduk hadir ke cawangan.

Sebagai langkah memperkukuh perlindungan kewangan komuniti orang Asli, Agrobank turut menawarkan Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus dengan nilai perlindungan keseluruhan RM1.34 juta.

Pelan ini merangkumi manfaat kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, perbelanjaan pengebumian dan perubatan serta elaun hospital.

Kakitangan Agrobank turut melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Peta.

Tok Batin Kampung Peta, Rampuyan Kantan berkata, pengurusan kewangan penting supaya kita belajar menabung sedikit demi sedikit dan menjadikannya sebagai satu kebiasaan.

“Kalau kita tidak mula, kita tidak akan tahu bagaimana hendak menguruskan kewangan dan berurusan dengan pihak bank.

“Saya berterima kasih kepada Agrobank kerana sanggup datang ke kampung kami yang terletak agak jauh. Kalau kami perlu pergi ke bandar, urusan seperti mendapatkan kad atau membuka akaun bank pun agak sukar.

“Kami mahu masyarakat di sini lebih mengambil tahu tentang perkara-perkara seperti ini, terutamanya apabila kes penipuan kewangan atau scam semakin berleluasa,” katanya.

Menurut Agrobank, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha memperluas keterangkuman kewangan serta melaksanakan inisiatif yang menyokong pendidikan, perlindungan dan kesejahteraan komuniti di seluruh negara, selaras dengan peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN