SPEEDY Tigers mahu menjadikan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 sebagai medan menguji kemampuan serta memperkemas kekuatan pasukan sebelum mengharungi cabaran lebih besar dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dari 20 hingga 28 November ini dilihat penting buat ketua jurulatih negara, Brendon Carolan untuk menilai kemampuan pemain, selain memberi peluang kepada beberapa muka baharu mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, Carolan mengakui pasukannya berdepan kekangan masa untuk membuat persiapan rapi selepas mengharungi beberapa tugasan antarabangsa, sekali gus memerlukan pendekatan berbeza dalam memastikan pemain berada pada tahap terbaik.
Katanya, tumpuan ketika ini lebih terarah kepada perancangan jangka panjang bagi menghadapi kelayakan Olimpik tahun depan, namun Piala Sultan Azlan Shah tetap menjadi sebahagian daripada proses membentuk skuad lebih kompetitif.
“Kami baru sahaja mengharungi Sukan Asia, jadi persiapan lebih menjurus kepada perancangan jangka panjang untuk kelayakan Olimpik tahun depan.
“Piala Sultan Azlan Shah adalah antara kejohanan dalam perancangan itu dan kami berharap dapat memberi pendedahan kepada beberapa pemain, tetapi pada masa sama perlu mencari keseimbangan kerana pasukan seperti Australia juga cukup kuat,” katanya.
Dalam masa sama, aspek penyudah pukulan sudut penalti turut menjadi perhatian selepas kelemahan itu dikenal pasti ketika kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026, khususnya ketika berdepan Jepun.
Carolan turut mengakui persiapan pasukan agak terhad apabila pemain perlu kembali beraksi dalam saingan liga, menyebabkan skuad negara hanya mempunyai beberapa hari untuk menjalani latihan bersama termasuk satu perlawanan persahabatan menentang Kanada sebelum kejohanan bermula.
Untuk rekod, Malaysia hanya sekali muncul juara Piala Sultan Azlan Shah sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983, iaitu pada edisi 2022, manakala Australia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 gelaran.
















