DALAM dunia hiburan, populariti mungkin menjadi ukuran kejayaan bagi sesetengah pihak, namun bagi pelakon berwibawa seperti Farah Ahmad, nilai sebenar seorang anak seni jauh melangkaui kemasyhuran dan sorotan kamera.
Berbekalkan pengalaman panjang dalam industri, pemilik nama sebenar Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin itu membuktikan keupayaannya menghidupkan watak menerusi banyak naskhah, antaranya Roh dan La Luna.
Setiap kemunculannya memperlihatkan kesungguhan seorang pelakon dalam menelusuri sisi manusia, merungkai emosi dan menyampaikan cerita dengan penghayatan mendalam.
Di sebalik tepukan penonton dan pujian khalayak, tersimpan proses panjang menuntut kesabaran, penelitian, pemahaman psikologi serta keupayaan menyelami perasaan manusia.
Ditanya mengenai tanggapan segelintir masyarakat bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pelakon, Farah mengakui persepsi sedemikian timbul saat khalayak hanya melihat kemewahan dan kelebihan berada di hadapan kamera.
“Orang selalu fikir jadi pelakon itu mudah. Apabila tiada pekerjaan, bolehlah jadi pelakon kerana nampak glamor dan bayarannya mungkin lumayan.
“Memang ada kelebihan menjadi anak seni, tetapi orang hanya nampak ketika bintang sedang bersinar tanpa tahu kesukaran,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, aktres berusia 48 tahun itu menyifatkan seni sebagai elemen penting dalam kehidupan manusia, biarpun sumbangannya tidak sentiasa dapat diukur menerusi angka atau kewangan.
“Cuba bayangkan kehidupan tanpa hiburan. Tiada muzik, tiada filem, tiada karya seni dan tiada ruang untuk kita melepaskan tekanan.
Bagaimana keadaan masyarakat ketika itu?

“Orang kadangkala menganggap sesuatu tidak berguna apabila tidak memberikan pulangan wang secara langsung.
“Bahkan, nasyid juga sebahagian daripada hiburan, begitu juga zikir. Setiap bentuk seni mempunyai peranan. Sebab itu, saya rasa kita tidak boleh pandang rendah kepentingan kesenian hanya kerana manfaatnya tidak sentiasa dapat dinilai melalui wang,” ujarnya.
Biarpun kelihatan seperti pekerjaan berteraskan kreativiti, Farah menjelaskan seseorang pelakon perlu mempunyai kefahaman mendalam terhadap karakter, termasuk hukum sebab dan akibat.
“Tidak semua orang boleh berlakon. Seorang pelakon sebenar perlu memahami perkara hendak disampaikan menerusi wataknya, sama ada baik atau jahat.
“Sebab itu, apabila membawa watak jahat sekalipun, kita perlu mencari titik perubahan untuk menyedarkan penonton bahawa perbuatan tersebut salah.
“Proses itu memerlukan penelitian. Kita perlu tahu bagaimana hendak menyampaikan sesuatu mesej tanpa merosakkan pemahaman penonton. Itulah saya mengatakan lakonan bukan pekerjaan mudah,” jelasnya.

Pelakon kayu
Dalam industri hiburan, perhatian juga aset penting, malah ramai pelakon berdepan kritikan apabila mutu lakonan dianggap tidak sepadan populariti.
Ibu tiga anak itu bagaimanapun memilih untuk tidak sewenang-wenangnya melabel seseorang sebagai pelakon kayu. Dia percaya setiap individu mempunyai perjalanan dan ruang tersendiri untuk berkembang.
“Saya susah hendak melabel orang sebagai pelakon kayu kerana saya kasihankan perasaan mereka.
“Alhamdulillah, mungkin saya sendiri mempunyai sedikit bakat ketika mula-mula menceburi bidang ini.
“Kalau kita mengatakan seseorang itu kayu, kemudian dia berkecil hati dan terus hilang semangat, apa manfaatnya?” tegas beliau.
Tambah Farah, kritikan terhadap mutu lakonan sepatutnya disampaikan dengan cara lebih berhemah, terutama apabila komen berkenaan berpotensi menjadi ikutan netizen dalam media sosial.
“Saya lebih suka melihat generasi baharu terus mencuba, belajar dan memahami seni. Mudah-mudahan mereka tidak memasuki bidang ini hanya kerana terpikat dengan glamor, sebaliknya menyedari nilai dan manfaatnya seni,” luahnya.

Pilihan anak
Farah turut berkongsi pendekatan diterapkan dalam membesarkan anak-anak, termasuk Mhia Firdaus yang semakin menunjukkan perkembangan dalam bidang lakonan sehingga berjaya menambat perhatian juri Festival Filem Golden Horse ke-63 apabila tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Sayang Sayang.
Pengiktirafan tersebut turut mengukir sejarah apabila gadis berusia 20 tahun itu muncul sebagai pelakon Melayu pertama menerima pencalonan dalam kategori berkenaan pada festival filem berprestij tersebut.
Mengulas tentang itu, Farah berkata dia tidak pernah memaksa anak-anak mengikut jejak langkahnya, sebaliknya mahu mereka mengenali industri seni dengan lebih dekat serta memahami peranannya dalam masyarakat.
“Pertamanya syukur orang nampak bakat Mhia. Pada saya, kalau anak-anak mahu menceburi bidang seni, saya akan menyokong tapi saya enggan mereka masuk hanya kerana melihat glamor atau perkara menarik di hadapan kamera.
“Saya mahu mereka belajar dan memahami apa sebenarnya seni, termasuk perkara berlaku di sebalik tabir.
“Kalau mereka dapat membantu seorang atau dua orang memahami nilai sebenar bidang ini, itu pun sudah menjadi satu usaha.
“Kita mungkin tidak mampu mengubah semuanya dalam sekelip mata, tetapi setiap usaha tetap bermakna. Paling penting, mereka tahu sebab memilih laluan tersebut dan apa sumbangan boleh diberikan kepada orang lain,” tutupnya.
















