KANGAR – Tindakan seorang pemandu Mitsubishi Pajero melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa membawa kepada rampasan lebih satu tan daun ketum di Lembah Chuping, Padang Besar pada 30 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 1,001 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,010 bersama sebuah Mitsubishi Pajero dianggarkan bernilai RM30,000.
Pengarah JKDM Perlis, Mohammad Furiman Hattar berkata, kejadian bermula apabila pasukan Unit Narkotik Padang Besar mengesan sebuah Mitsubishi Pajero bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang kenaf menghala ke Jalan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand.
“Pasukan penguat kuasa bertindak mengejar kenderaan itu sehingga memasuki kawasan hutan di Lembah Chuping sebelum meminta bantuan dua pasukan lain untuk mengesan kenderaan terbabit.
“Hasil pencarian, kenderaan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berkunci dan tanpa pemandu lelaki yang dipercayai melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelak ditahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
















