Operasi SAR diteruskan di Empangan Sungai Selangor.

Kepala air Sungair Pertak: Pencarian mangsa diteruskan di Empangan Sungai Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Pencarian tiga lagi mangsa kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian tertumpu sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus ke arah empangan berkenaan.

“Radius pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor meliputi kira-kira tiga kilometer sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian.

“Setakat ini, lima daripada lapan mangsa yang dilaporkan dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala tiga lagi masih dicari,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Terdahulu, empat mayat ditemukan pagi tadi, dengan tiga daripadanya tersangkut di tebing sungai berhampiran Jambatan Senget kira-kira 950 meter dari Lata Jebus, pada pukul 9.20 pagi.

Satu lagi mayat ditemukan pada pukul 10.20 pagi berhampiran sebuah jambatan gantung kira-kira 50 meter dari Jambatan Senget atau satu kilometer dari lokasi kejadian.

Operasi membawa keluar keempat-empat mayat selesai pada pukul 11.15 pagi sebelum dibawa ke Pos Kawalan Hadapan Bomba di Kampung Pertak di sini.

Sebelum itu, seorang lagi mangsa, lelaki tempatan berusia 36 tahun, ditemukan meninggal dunia di Jambatan Pertak kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Difahamkan, kesemua lima mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN