KAJANG – Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan polis selepas disyaki melakukan khianat dengan melukis kalimah Allah dan tanda salib pada sebuah kotak panel kawalan elektrik di tepi jalan di Taman Sutera, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kira-kira pukul 2.15 petang tadi.
Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada pukul 12.16 tengah hari semalam berhubung penularan rakaman video memaparkan perbuatan wanita terbabit di media sosial.
“Susulan laporan tersebut, polis berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas beberapa barangan termasuk cat berwarna merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan dengan niat sengaja melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475.
Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita disyaki melukis kalimah Allah dan tanda salib menggunakan cat merah pada kotak panel kawalan elektrik di tepi jalan di Taman Sutera, Kajang.
Kejadian itu kemudiannya mendapat perhatian pihak polis sehingga membawa kepada penahanan suspek bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
















