BERA – Kelangsungan dan keindahan Tasik Bera sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama negara ini dapat terus dipertahankan melalui usaha memulihkan zon penampan.
Antara tindakan segera yang perlu dilakukan termasuklah penanaman pokok hutan yang sebelum ini musnah ekoran aktiviti penerokaan secara haram di atas tanah seluas 7,000 hektar di kawasan tersebut.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, zon penampan Tasik Bera dan zon ‘riparian’ dilihat amat penting untuk dijaga agar tidak diganggu dan dipulihkan segera.
“Zon ini penting sebagai penapis pencemaran permukaan tanah akibat aktiviti manusia sekeliling Tasik atau Tapak Ramsar. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai habitat hidupan liar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Ahmad, zon penampan juga dilihat penting dalam memulihara tasik berkenaan kerana ia menapis pencemaran sedimen dan nutrien atau bahan kimia lain yang memgganggu kualiti air.
Bagaimanapun, katanya, program pemulihan tersebut perlu dilaksanakan secara sistematik mengikut kesesuaian kawasan sekeliling tapak Ramsar berkenaan.
“Zon penampan perlu segera dipulihkan yang mana kawasan penampan mesti cukup luas dan sempadan juga perlu dibuat dengan jelas bagi membanteras pencerobohan.
“Komitmen kerajaan jelas menjaga Tapak Ramsar yang merupakan tanggungjawab diberikan di peringkat antarabangsa. Kawasan penampan mesti cukup luas dan sempadannya mesti jelas,” katanya.

ADBUL RAHMAN
Sebelum ini Kosmo! mendedahkan Hutan Simpan Kekal Tapak Ramsar Tasik Bera yang diiktiraf sejak tahun 1994 kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan itu dipercayai diteroka secara haram bagi tujuan tanaman sawit, getah serta pelbagai tanaman kontan lain.
Dakwaan mengatakan aktiviti penanaman tersebut berlaku di hampir seluruh kawasan dan hanya kurang separuh daripada hutan tersebut yang dikatakan masih bertahan.
Oleh itu, wujud persoalan mengenai siapakah dalang yang membiayai kegiatan penerokaan tanaman tersebut kerana ia memerlukan modal yang besar mencecah jutaan ringgit.
Selain itu, terdapat juga persoalan siapakah yang akan menikmati keuntungan hasil sawit tersebut yang dianggarkan mencecah RM107 juta setahun.
Dengan hasil tuaian secara haram itu, ia bakal menjadikan sesiapa sahaja kaya raya.
Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling, Prof. Dr. Maketab Mohamed menyifatkan pencerobohan haram ke atas Hutan Simpan Kekal Tasik Bera sebagai memalukan negara.
Selain itu, kawasan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sejak 1994 tersebut turut berisiko ditegur dan lebih malang ditarik balik status berkenaan.
















