SUMASH menerangkan mengenai perkembangan penggunaan AI dalam kalangan perusahaan Malaysia berdasarkan kajian oleh Dell Technologies.

Momentum penggunaan AI di Malaysia antara terkukuh di Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perusahaan di Malaysia semakin berkembang pesat apabila semakin banyak organisasi beralih daripada fasa percubaan kepada pelaksanaan teknologi itu dalam operasi perniagaan secara lebih menyeluruh.

Perkembangan tersebut mencerminkan kesedaran sektor korporat terhadap potensi AI dalam meningkatkan produktiviti, memperkemas pengurusan operasi serta mempercepat proses membuat keputusan berasaskan data.

Kajian Modern Enterprise Readiness Study 2026 Malaysia oleh Dell Technologies mendapati peratusan organisasi yang masih berada pada peringkat awal hingga pertengahan penggunaan AI menurun daripada 54 peratus pada 2025 kepada 26 peratus tahun ini.

Malah, sebanyak 22 peratus organisasi di negara ini dilaporkan sudah mempunyai penyelesaian AI dan AI generatif (GenAI) yang mantap serta digunakan dalam operasi pengeluaran.

Menurut Pengarah Urusan Dell Technologies bagi Asia Selatan dan Pasaran Pesat Membangun, Sumash Singh, momentum penggunaan AI di Malaysia antara yang paling kukuh dalam pasaran yang dipantau syarikat itu.

“Organisasi perlu menghubungkan strategi data, infrastruktur, keselamatan dan keupayaan rakan teknologi sebagai satu ekosistem bagi memastikan pelaburan AI menghasilkan manfaat perniagaan yang mampan serta boleh diukur.

“Bagaimanapun, cabaran seterusnya bukan sekadar mempercepat penggunaan AI, sebaliknya memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab, selamat dan berupaya memberikan pulangan sebenar kepada organisasi,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan bersama firma penyelidikan Vanson Bourne itu melibatkan 2,950 pembuat keputusan perniagaan dan teknologi maklumat (IT) dari 35 negara, sekali gus meletakkan Malaysia antara pasaran yang menunjukkan perkembangan pesat dalam kematangan penggunaan AI.

Secara umumnya, perusahaan-perusahaan di Malaysia dilihat semakin matang dalam penggunaan AI dengan 22 peratus organisasi di negara ini dilaporkan sudah mempunyai penyelesaian AI yang mantap termasuk bagi operasi pengeluaran. – Gambar hiasan

Tambah Sumash, dalam sektor perusahaan, pelaburan teknologi AI tertumpu kepada automasi IT dan operasi infrastruktur sebanyak 60 peratus, diikuti peningkatan produktiviti pekerja (56 peratus), inovasi produk dan perkhidmatan (54 peratus) serta analisis data (52 peratus).

Keadaan itu menunjukkan fungsi AI semakin melangkaui penggunaan asas seperti penjanaan kandungan, sebaliknya mula menjadi sebahagian daripada strategi operasi organisasi bagi mengurangkan beban kerja berulang, meningkatkan kecekapan serta menghasilkan penyelesaian perniagaan yang lebih inovatif.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut turut menuntut kesiapsiagaan infrastruktur digital, keselamatan siber dan tenaga kerja berkemahiran bagi memastikan penggunaan AI dapat diperluaskan secara selamat dan berkesan.

“Sebanyak 68 peratus organisasi menyifatkan pemodenan infrastruktur sebagai keutamaan penting untuk menyokong keperluan AI pada skala lebih besar, meningkat berbanding 48 peratus pada 2025.

“Selain itu, 58 peratus organisasi memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalaman dan kapasiti tenaga kerja, manakala jumlah sama turut mengutamakan peningkatan kualiti, akses serta tadbir urus data,” ujarnya.

Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi perhatian apabila 82 peratus responden berpendapat data dan harta intelek organisasi mereka memerlukan perlindungan tertinggi, khususnya dalam penggunaan platform AI generatif yang berpotensi melibatkan akses pihak ketiga.

Pada masa sama, pemodenan pusat data, peranti pintar dan komputer berkeupayaan AI (AI PC) turut dikenal pasti sebagai komponen penting dalam menyokong transformasi digital perusahaan.

“100 peratus responden bersetuju AI PC dan peranti moden bakal memainkan peranan penting dalam strategi perniagaan masa hadapan. Dalam masa sama, 86 peratus pula percaya penggunaan peranti lama boleh mengehadkan keupayaan organisasi mengadaptasi aplikasi berasaskan AI,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN