TEKNOLOGI dron yang dahulunya lebih sinonim dengan aktiviti merakam gambar dan video dari udara, kini berkembang jauh melangkaui fungsi asalnya apabila mula dimanfaatkan dalam pelbagai bidang kehidupan.
Keupayaan yang semakin canggih bukan sahaja membolehkan penghantaran pantas, pertanian pintar dan senjata pertahanan lebih murah tetapi turut membuka ruang kepada penggunaan dalam operasi mencari dan menyelamat khususnya bagi mengesan individu yang dilaporkan hilang di kawasan hutan.
Perkembangan ini membuktikan bahawa dron menjadi teknologi penting yang mampu membantu memudahkan urusan manusia, termasuk dalam situasi kecemasan yang memerlukan tindakan cepat dan tepat.
Seorang penyelidik di Universiti Purdue, Amerika Syarikat baru-baru ini mendedahkan penyelidikannya mengusahakan sebuah dron autonomi yang mampu menjejaki individu meskipun berada di kawasan hutan tebal.
Menariknya, tanpa sokongan internet, sistem kedudukan sejagat (GPS) dan kawalan manusia, dron tersebut mampu melakukan navigasi secara autonomi dengan mencelah halangan-halangan dan meramalkan pergerakan seseorang di dalam hutan
Dibangunkan oleh Profesor Madya Aniket Bera dari Jabatan Sains Komputer Universiti Purdue yang juga Pengarah Ideas Lab, dron tersebut digerakkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa pautan internet.
Menerusi rakaman video demonstrasi berdurasi 44 saat yang dimuat naik di LinkedIn pada 24 Oktober lalu menunjukkan dron tersebut mampu mengesan individu tanpa GPS atau peta sedia ada.
Lapor Times of India, dron terbabit menggunakan sistem pengkomputeran yang dibangunkan untuk membuat keputusan navigasi secara automasi.

Demonstrasi itu mengetengahkan bagaimana sistem autonomi boleh beroperasi dalam persekitaran tanpa isyarat satelit, tetapi masih mampu bergerak bebas dan mengelak daripada halangan.
Kata Bera, teknologi tersebut berteraskan Embodied AI yang berfungsi terus pada cip peranti.
“Dron autonomi ini dibangunkan dari peringkat asas di Ideas Lab meliputi reka bentuk CAD, kerangka gentian karbon 3D hingga perisian dalaman untuk beroperasi dalam batasan (pergerakan) terhad dan haba,” katanya.
Terang Bera, teknologi ini dilihat boleh membantu pasukan penyelamat mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang walaupun keberkesanannya dalam operasi menyelamat dunia sebenar masih belum dapat dipastikan.
Sebagai individu yang aktif melakukan penyelidikan dalam bidang robotik dan AI, Bera menaruh harapan tinggi bahawa sistem dron autonomi itu dapat memberi manfaat kepada manusia untuk masa hadapan.
Berdasarkan video demonstrasi yang dikongsikan itu, dron berkenaan mampu mengekori seseorang meskipun melalui celahan pokok sambil bergerak di persekitaran hutan.
Sistem navigasi AI menggabungkan penderia sekitar dengan algoritma yang membolehkan sistem menilai sama ada halangan di hadapan sambil merancang pergerakan.
Demonstrasi itu secara tidak langsung menunjukkan dron menavigasi tanpa peta hutan sedia ada.
Analisis teknikal telemetri ke atas video itu turut mengenal pasti rujukan kepada alat navigasi dan pemetaan, walaupun konfigurasi sistem yang tepat belum didokumenkan sepenuhnya secara terbuka.
Sistem navigasi autonomi yang digunakan membolehkan dron membuat keputusan penerbangan berdasarkan maklumat sensor dan bukannya memerlukan pengendali manusia untuk mengarahkan setiap pergerakan.
Kawasan hutan tebal dan permukaan bentuk muka bumi yang tidak rata akan menyebabkan gangguan rangkaian internet sekali gus menghadkan pergerakan dron.
Sensor membantu dron autonomi menganggarkan pergerakan dan memahami persekitaran. Kesan Cahaya dan Julat (LiDAR) digunakan untuk mengukur jarak secara tiga dimensi.
“Maklumat yang ada boleh membantu dron mengenal pasti halangan termasuk pokok dan dahan sekali gus merancang laluan di sekelilingnya.
“Ramalan oklusi (keupayaan AI untuk meramal arah pergerakan yang hilang seketika daripada pandangan mata dron) membolehkan dron menganggarkan kemungkinan pergerakan menggunakan pemerhatian sebelumnya.
“Walaupun begitu, kedudukan yang diramal bukanlah lokasi yang disahkan dan ketepatan penjejakan boleh berbeza-beza mengikut persekitaran,” katanya.

Keupayaan ini dapat digunakan di kawasan hutan dalam keadaan dahan dan timbunan daun akan mengganggu pergerakan dan pemandangan kamera dron.
Dron ini membawa mini komputer (seperti siri Intel NUC) yang bertindak sebagai pusat pemprosesan utama. Komputer ini membolehkan semua pengiraan AI yang berat dilakukan terus di atas dron tanpa bergantung kepada komputer luaran.
Disebabkan dron tidak menggunakan GPS, ia bergantung kepada teknologi Visual-Inertial Odometry (VIO) iaitu menggabungkan penjejakan visual daripada kamera dengan penderia gerakan dalaman (inertial sensors) untuk mengira kedudukan koordinat dan arah pergerakan dron secara tepat.
Sistem navigasi dron menggunakan algoritma sumber terbuka, FAST-LIO yang fungsinya adalah sebagai ‘peta dalaman’ yang mengira kedudukan, arah pergerakan dan kecondongan dron secara masa nyata berasaskan data LiDAR agar kekal stabil di udara.
Meskipun begitu, ideologi membangunkan dron autonomi itu bukan idea asal Bera kerana beliau menggunakan platform perkakasan fizikal asli yang sudah sedia dibangunkan oleh MaRS Lab dari Universiti Hong Kong.
Dron kuadkopter yang dikenali sebagai SUPER milik MaRS Lab itu dibangunkan oleh Profesor Fu Zhang.
Secara ringkasnya, teknologi dron ini turut mampu menjadi alat sokongan bagi operasi menyelamat di kawasan bencana alam terutama di lokasi tidak mempunyai rangkaian internet atau navigasi satelit.
Bukan itu saja, golongan pemerhati teknologi turut berpendapat ia mampu membantu pemantauan terhadap hidupan liar di kawasan yang sukar diakses.
Begitu juga dengan pemeriksaan infrastruktur seperti struktur perindustrian dan persekitaran kompleks lain sambil mengumpul maklumat.
Bagaimanapun dron tersebut masih belum digunakan secara rasmi di lapangan dan masih berada dalam peringkat kajian.
















