Tangkap layar CCTV memaparkan individu dipercayai menganiaya seekor kucing di Kenanga Point, Kuala Lumpur.

Kucing didakwa dipukul penyapu sebelum dicampak dari tingkat 21

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seekor kucing dipercayai dipukul menggunakan batang penyapu sebelum dicampak dari tingkat 21 sebuah kondominium di Kenanga Point, Kuala Lumpur.

Kejadian yang didakwa berlaku pada 2 November lalu kira-kira pukul 9.30 malam itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta gambar kucing berkenaan dikongsikan di media sosial.

Menerusi hantaran di Facebook, seorang wanita dikenali sebagai Lisa Kei mendakwa kucing yang dipeliharanya sejak kecil itu menjadi mangsa kekejaman individu tidak bertanggungjawab sehingga kehilangan nyawa.

“Perkembangan terkini, kucing dibuang dari tingkat 21. Sebelum dibuang, kucing itu dipukul menggunakan penyapu sehingga patah tiga.

“Saya berharap rakan-rakan Facebook dapat membantu menularkan kejadian ini dan membuat laporan. Memang sakit hati apabila kucing yang saya rawat sejak kecil akhirnya kehilangan nyawa,” katanya.

Hantaran yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook Kucing/Anjing Jalanan & Bantuan Seluruh Malaysia itu turut memaparkan beberapa rakaman CCTV yang menunjukkan kelibat individu di koridor sebuah bangunan.

Selain itu, wanita berkenaan turut berkongsi gambar kucing berbulu putih dan kelabu yang dipercayai menjadi mangsa kejadian tersebut.

Menjawab pertanyaan pengguna Facebook mengenai lokasi kejadian, Lisa memaklumkan insiden itu berlaku di Kenanga Point, Kuala Lumpur.

Menurutnya, individu yang didakwa terlibat dalam kejadian tersebut bukan penghuni kondominium berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial meluahkan kemarahan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab.

Seorang pengguna Facebook, Li Shian meminta maklumat lengkap berhubung kejadian itu dikongsikan bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Tidak berani hendak tengok video penuh atau baca. Tolong berikan butiran kes seperti nama, unit rumah pelaku, tarikh, masa, alamat dan ringkasan kejadian supaya ramai-ramai boleh membuat laporan kepada DVS,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Anamaisara Maisara pula bimbang kejadian sama akan berulang sekiranya individu terbabit tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

“Selagi tidak ditangkap, dia akan melakukan perkara yang sama. Lebih baik buat laporan dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Arif Fizi berharap pihak berkuasa mengambil serius dakwaan penganiayaan haiwan tersebut.

“Harap-harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap pelaku kerana dahulu kami pernah membuat laporan polis mengenai tujuh ekor kucing yang diracun, tetapi tidak diendahkan,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN