PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang berhubung rapat dengan pihak berkaitan bagi mengesahkan dakwaan wujudnya unsur pemujaan dalam persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Bukit Jalil, minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah dan setiap persembahan seni perlu menghormati sensitiviti agama di negara ini.
“Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.
“Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Dr. Zulkifli, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Bahagian Penyelidikan Jakim kini sedang bekerjasama dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
“Kerjasama ini bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta pematuhan syarat persembahan konsert The Weeknd di Bukit Jalil,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli menegaskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang dan fakta yang sahih sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu, konsert The Weeknd menjadi perhatian susulan penggunaan elemen visual dan persembahan pentas yang mencetuskan perdebatan mengenai sensitiviti agama.
Antara elemen yang diperkatakan termasuk kemunculan patung robot wanita gergasi hasil rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama, selain penari yang mengenakan jubah bertudung hud berwarna merah.
Penampilan patung berkenaan serta kumpulan penari berjubah merah itu menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan orang ramai, termasuk dakwaan bahawa persembahan tersebut mempunyai unsur ritual atau pemujaan. – KOSMO! ONLINE
















