Fahmi

Percepat migrasi kuantum, perkukuh keselamatan data – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DOHA – Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mempercepat proses migrasi kuantum bagi memperkukuh keselamatan data negara susulan perkembangan teknologi pengkomputeran kuantum yang dijangka membawa cabaran baharu terhadap keselamatan siber.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta syarikat telekomunikasi bagi meneroka kerjasama dalam bidang itu.

Beliau berkata, kerjasama itu termasuklah mewujudkan ruang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membolehkan Malaysia melaksanakan migrasi kuantum dengan lebih pantas dan selamat.

“Malaysia sedang pertimbang untuk percepatkan proses migrasi kuantum dalam negara kita dan saya telah meminta supaya MCMC berhubung dengan MKN, NACSA (dan) berbincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagaimana kita boleh bekerjasama mewujudkan ruang untuk R&D bagi melaksanakan penghijrahan kuantum ataupun quantum migration yang lebih pantas dan lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai inovasi teknologi yang berpotensi dimanfaatkan Malaysia selepas melawat beberapa reruai pameran pada Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini, semalam.

Fahmi berkata, antara perkembangan teknologi yang menarik perhatiannya ialah komunikasi selamat berasaskan kuantum yang semakin penting bagi menjamin keselamatan data pada masa hadapan.

Beliau berkata, kemunculan teknologi pengkomputeran kuantum di pasaran kelak dijangka membawa cabaran besar terhadap kaedah kriptografi dan penyulitan data sedia ada.

“Saya lihat isu yang akan mendepani banyak negara adalah berkaitan migrasi kuantum dan juga komunikasi selamat berasaskan kuantum.

“Dalam masa yang tak terlalu lama, pengkomputeran kuantum akan mula wujud dalam pasaran dan ini akan menjadi cabaran besar, terutama bagi apa yang disebut sebagai kriptografi dan penyulitan untuk pastikan data kita sentiasa selamat,” katanya.

Selain teknologi kuantum, Fahmi berkata lawatan ke reruai pameran itu turut memberi peluang kepada beliau meninjau pelbagai inovasi baharu, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan dalam perkhidmatan bandar pintar dan aspek keselamatan.

Migrasi kuantum merujuk kepada proses menaik taraf sistem keselamatan digital sedia ada kepada teknologi penyulitan yang mampu melindungi data daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum pada masa hadapan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN