MOHD. KHUZAIRE ketika menyantuni peniaga dan orang ramai di Pasar Malam Rembia di Melaka baru-baru ini. – FACEBOOK KHUZAIRE KAMAL

Khuzaire tekad jaga orang Rembia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pengalaman membesar dalam keluarga yang tidak senang menjadi antara pendorong calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, untuk memperjuangkan peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan penduduk kawasan itu.

Anak jati Rembia, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan, 42, berkata, pengalaman tersebut mem­bolehkan beliau memahami ca­baran kehidupan masyarakat setempat, selain mempunyai hu­bungan rapat dengan penduduk kerana membesar dan mendapat pendidikan awal di Rembia.

“Saya mengambil keputusan bertanding di Rembia disebabkan DUN Rembia ini sinonim dengan keluarga saya. Majoriti ramai yang kenal keluarga saya dan latar belakang saya.

“Penduduk masyarakat di DUN Rembia ini dekat dengan sa­ya kerana saya sekolah di sini dan rakan-rakan di sini,” katanya.

Mengulas perancangannya un­tuk Rembia, Mohd. Khuzaire berkata, usaha menarik pelabur berskala besar ke kawasan Perindustrian Kelamak menjadi antara keutamaannya bagi meran­cakkan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya anak muda.

Jelasnya, kawasan perindustrian berkenaan mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat tetapi memerlukan kemasukan pelabur yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan tawaran pendapatan le­bih tinggi.

“Isu-isu utama adalah peluang pekerjaan sebenarnya. Jika kita lihat, ramai anak-anak muda le­bih menggemari contohnya pe­kerja gig.

“Ramai anak-anak muda di si­ni banyak buat Grab berban­ding kerja kilang ataupun kerja di pejabat.

“Saya tekankan di Rembia ada industri Kelamak tetapi dia tidak pesat macam di bandar. Sini le­bih kepada industri yang perte­ngahan,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan pe­labur yang mampu menawarkan gaji permulaan lebih tinggi, sebagai contoh RM2,500 berbanding kadar gaji minimum
RM1,700, boleh menjadi antara tarikan kepada golongan muda untuk menyertai sektor perindustrian.

Katanya, usaha membawa ma­suk pelaburan juga memerlukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan kementerian berkaitan, termasuk dalam urusan pembangunan industri serta kelulusan pelaburan.

MOHD. KHUZAIRE ketika sesi soal-jawab bersama pengundi-pengundi di Rembia baru-baru ini.

Dalam aspek kebajikan, beliau turut meletakkan sasaran sifar kemiskinan di Rembia dengan memberi perhatian kepada keluarga yang memerlukan bantuan termasuk mereka yang tinggal di kawasan kampung.

Tambahnya, pendidikan juga perlu diberikan keutamaan kerana terdapat anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian.

“Isu pendidikan perlu diketengahkan kerana ramai dekat sini anak-anak dari keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan. Sehingga ada yang dapat tawaran luar negara, tidak dapat pergi.

“Jadi kita diberi mandat, saya sekali lagi saya cakap, saya kata kalau mana-mana anak-anak khu­susnya di DUN Rembia ini, kita akan cuba sedaya upaya mereka jika tidak ada kemam­puan kewangan.

“Itu sebabnya kita perlu me­nang di Melaka kerana Ke­raja­an Negeri Melaka mesti selari de­ngan Kerajaan Persekutuan su­paya senang Kerajaan Per­se­ku­tuan untuk menyalur bantuan-bantuan kewangan kepada anak-anak untuk melanjutkan pe­lajaran,” katanya.

Katanya, sekiranya diberikan mandat pada kali ini, pusat khid­matnya akan dibuka kepada semua penduduk tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik bagi memastikan bantuan dan perkhidmatan tidak diberikan secara pilih kasih.

Mohd. Khuzaire turut merancang mengadakan perjumpaan berkala serta membuka kaunter khidmat bergerak di setiap lokaliti pada setiap minggu supaya penduduk lebih mudah mengemukakan aduan tanpa perlu datang ke pusat khidmat.

“Setiap aduan yang diterima perlu disusuli tindakan dan pemantauan secara berterusan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN