KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten apabila menempatkan diri di tempat ketujuh pada Grand Prix (GP) Qatar hari ini.
Pada perlumbaan di Litar Lusail sebentar tadi, pelumba pasukan MT Helmets-MSI itu terlepas peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.
Bermula di petak ketujuh, Danish lebih banyak ‘memerhati’ sepanjang perlumbaan 16 pusingan itu sebelum mula melakukan serangan ketika dua pusingan terakhir.
Semasa pusingan terakhir perlumbaan, pelumba kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu berada di kedudukan kelima, namun gagal untuk mengekalkan kedudukan tersebut.
Berdepan cabaran Joel Kelso, Veda Pratama dan Alvaro Carpe, Danish terpaksa akur untuk melintasi garisan penamat di tempat ketujuh, sekali gus mengutip sembilan mata.
Pemenang perlumbaan itu adalah David Almansa dari pasukan Dynavolt Intact diikuti pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez manakala tempat ketiga menjadi milik juara dunia musim ini, Maximo Quiles.
Sementara itu, menerusi sembilan mata yang dikutip pada perlumbaan hari ini, Danish kini menghuni tanggan kelapan carta kejuaraan dunia mengumpul 125 mata. – KOSMO! ONLINE
















