Dr. SYARIFAH Munirah bersama suami dan anaknya bahagia melayari perkahwinan dua negara.

Suami Yemen lunas janji jaga mak mentua strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbezaan adat dan budaya, bahasa, makanan dan cara hidup serta pe­nerimaan ahli keluarga menjadi antara perkara yang perlu dilalui pasangan dalam perkahwinan campur.

Doktor perubatan, Dr. Syarifah Munirah ‘Aaqilah Al Sayed Mohamad, 30, yang mendirikan rumah tangga bersama lelaki Yemen, Syed Ahmed Baalawi, 33, sejak lima tahun lalu berkata, mereka berkenalan ketika sedang menuntut bidang perubatan di sebuah universiti swasta, manakala suaminya dalam bidang bioperubatan.

Ujarnya, teman serumahnya ketika di universiti merupakan rakan sekelas suaminya, manakala dia sering mendengar nama Syed Ahmed Baalawi, namun tidak berminat untuk kenal lelaki itu.

“Sebelum kenal suami dulu, saya jaga mak sakit strok. Saya ulang-alik belajar setiap hari, habis belajar kelas, petang balik rumah abang saya untuk jaga mak saya. Waktu saya ulang-alik belajar, saya agak sibuk.

“Kawan kelas saya yang kenal dia, sedangkan saya hanya tahu nama dan tidak tahu siapa ­orangnya. Pelajar asing di universiti kami memang tak ramai dan dia pula antara yang aktif dalam sukan dan komuniti,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, hasrat suami untuk mengenalinya disampaikan sendiri oleh teman serumah, namun dia menolaknya secara baik memandangkan wanita itu terlalu sibuk dengan rutin harian belajar dan perlu menjaga ibu.

Katanya, lelaki Yemen itu juga membawa ibu bapanya dan dua adiknya dari Dubai untuk bertemu keluarganya di Kelantan, namun ketika itu belum ada kata putus memandangkan dia masih belum menamatkan pengajian.

Wanita itu berkata, pelbagai usaha dibuat oleh Syed Ahmed Baalawi untuk mengenali lebih serius dan mahu menjadikannya sebagai isteri yang akhirnya dia terbuka hati untuk menerima jejaka Arab tersebut.

“Saya ada lapan adik-beradik termasuk empat abang. Suami saya nak dapatkan persetujuan kahwin ini, dia jumpa semua empat abang saya setiap orang sebab keluarga agak tegas dan saya pula anak bongsu, adik pe­rempuan akhir,” katanya.

Selepas pelbagai rintangan dan cabaran dilalui, akhirnya mereka mendirikan rumah tangga pada 2021 selepas kedua-dua belah keluarga bersetuju dan merestui hubungan Dr. Syarifah Munirah

‘Aaqilah dengan Syed Ahmed Baalawi.

“Satu sebab saya terima dia, saya pernah bagi tahu masa mak sakit strok dan ketika itu sudah lima atau enam tahun saya jaga. Dia sakit sejak saya SPM lagi. Jadi kalau nak kahwin, boleh ke jaga mak saya sekali.

“Selepas kami kahwin, dia yang banyak uruskan kesemua­nya. Kami duduk rumah sendiri dan dia bersama-sama menjaga mak saya. Dia tunaikan kata-kata janjinya yang dibuat lima tahun dahulu,” katanya.

Dr. Syarifah Munirah ‘Aaqilah menyifatkan, budaya dalam masyarakat Arab yang menitik berat sikap mengambil berat dan penyayang terutama kepada ibu bapa dan orang tua.

“Dia jaga sangat ‘top’, terbaik. Dia jaga mak saya macam dia jaga mak dia, sangat lembut dengan orang tua. Mungkin itu budaya mereka. Dia uruskan dari A sampai Z. Selain itu, lepas kahwin, dari hari pertama sampai sekarang, dia tak bagi saya bawa kereta.

“Saya tak pernah memandu, dia akan hantar pergi dan balik kerja walaupun ketika oncall sebab saya kerja hospital sebelum ini. Bila dah ada anak, dia juga uruskan kesemuanya.

“Jadi saya tak perlu fikir sangat, bahkan di rumah mak saya pula, dia tolong uruskan, misalnya beli barang keperluan mak. Alhamdulillah rezeki saya yang mana sebelum ni saya penat letih sebelum kahwin. Lepas kahwin, Allah bagi rezeki suami jaga sama-sama uruskan semuanya,” katanya.

Dari segi makanan, dia bersyukur suaminya seorang yang suka mencuba masakan Me­layu, malah kini boleh menikmati budu serta lauk kampung.

“Suami saya sekarang sudah pandai bahasa Melayu dan bila di luar, dia juga bercakap bahasa Melayu lebih-lebih lagi telah tinggal di sini hampir 10 tahun.

“Cuma dengan anak, kami lebih kepada Inggeris, tetapi ada sesekali menggunakan bahasa Arab memandangkan pengasuhnya adalah orang Arab yang merupakan rakan kepada ibu mentua,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN