ISTANBUL – Potensi pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal di Bagan Datuk, Perak antara perkara utama dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Konsul Kehormat Malaysia di Bursa, Turkiye Datuk Cevdet Sefer, di sini hari ini.
Pada pertemuan yang berlangsung selama 30 minit bermula 11 pagi waktu tempatan itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia mempunyai kapasiti industri perkapalan tempatan serta menerima minat pelabur luar untuk meneroka peluang di Bagan Datuk, dengan penyertaan pelabur Turkiye antara yang diberi perhatian.
Selain itu, beliau berkata, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) di Lumut dikenal pasti berpotensi menyokong pembangunan industri maritim melalui kepakaran dalam kejuruteraan marin, seni bina kapal dan pengurusan maritim.
Ahmad Zahid berkata, pertemuan turut menyentuh peluang pemindahan kepakaran teknologi Turkiye, pembangunan kapasiti industri tempatan serta peluasan kerjasama dalam sektor bernilai tinggi yang berpotensi memberikan manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara.
“Potensi kerjasama industri pertahanan dan keselamatan termasuk pembangunan sistem pertahanan ringan, pemindahan teknologi serta pengeluaran komponen secara tempatan di Malaysia, dengan cadangan lokasi projek di Pahang atau Sarawak, turut dibincangkan,” katanya di sini hari ini.
Dalam sektor kewangan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kedua-dua pihak turut meneroka peluang perkongsian kepakaran Malaysia dalam perbankan Islam, pembiayaan patuh syariah dan pasaran sukuk, selain potensi kerjasama dalam pembiayaan hijau.
“Potensi Malaysia sebagai lokasi pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data berteknologi tinggi turut dibincangkan, dengan keperluan bekalan tenaga dan air yang stabil dikenal pasti sebagai antara faktor penting menarik pelaburan.
“Dalam industri halal, perbincangan memberi tumpuan kepada peluasan kerjasama melangkaui sektor makanan dan minuman kepada farmaseutikal, kosmetik, vaksin, perbankan Islam, takaful serta produk halal bernilai tinggi,” katanya.
Ahmad Zahid kini berada di Turkiye bagi rangka lawatan kerja empat hari bermula 5 hingga 8 Nov bersempena dengan penyertaan beliau dalam Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. – BERNAMA
















