KOTA DAMANSARA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui terkesan dengan kecaman netizen susulan kesilapan membaca surah al-Fatihah dan al-Fil ketika mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya yang tular baru-baru ini.
Menurut Aliff atau nama lengkapnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 39, komen negatif yang dilemparkan terhadapnya bukan sahaja menjejaskan emosinya, malah turut memberi kesan kepada anak-anak sehingga mereka berasa malu dan mempersoalkan perkara tersebut.
Mengakui kekhilafannya, Aliff tidak menafikan masih mempunyai kekurangan dalam membaca dan menghafal ayat al-Quran, lebih-lebih lagi dia berdepan masalah gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD) serta disleksia.
“Apabila orang menghina saya, anak-anak sampai berasa malu dan bertanya mengapa perkara ini berlaku.
“Mereka tahu bacaan al-Quran saya pun masih tidak betul. Sejujurnya, saya mempunyai ADHD dan disleksia, jadi memang sukar untuk saya menghafal.
“Sekarang baru saya berpeluang mengaji dan memberikan tazkirah kepada anak-anak. Sebelum ini, saya tidak pernah melakukannya. Apabila membaca komen netizen, saya rasa sangat terkesan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran YES (Year End Sale Promotions) D’Herbs, di sini, hari ini.
Pelakon filem Badang itu turut menegaskan tindakannya berkongsi rakaman solat di media sosial bukan bertujuan mempermainkan atau memperlekehkan agama.
“Saya tidak pernah berniat memperlekehkan atau merendahkan agama. Saya melakukan siaran langsung solat itu tanpa sebarang niat yang tidak baik.
“Saya mengakui ada kekhilafan, tetapi netizen membuat provokasi seolah-olah saya sengaja mempermainkan agama.
“Mengapa orang begitu kejam terhadap saya? Banyak lagi orang menghasilkan video mengarut, tetapi saya pula dihina secara melampau,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman memaparkan Aliff mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya yang mengundang perhatian ramai selepas terdapat kesalahan dalam bacaan surah al-Fatihah dan al-Fil.
Susulan itu, penceramah bebas, Ustaz Hafiz Afandi tampil mengulas rakaman berkenaan dan menjelaskan terdapat beberapa kesalahan dalam bacaan surah al-Fatihah yang merupakan antara rukun solat.
Hafiz turut menyarankan Aliff mendapatkan bimbingan daripada individu lebih arif bagi memperbaiki bacaan ayat suci al-Quran, khususnya bacaan dalam solat. – KOSMO! ONLINE
















