KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memulakan kempen Grand Prix (GP) Qatar dengan langkah positif apabila menamatkan sesi latihan di tempat keempat terpantas, sekali gus mengesahkan tiket automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2).
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu merekodkan masa 2 minit 03.500 saat (s) pada sesi latihan di Litar Antarabangsa Lusail.
Catatan itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan hanya ketinggalan 0.328s di belakang pelumba terpantas, Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team yang merekodkan masa 2:03.172s.
“Hari pertama di Qatar. Syukur Alhamdulillah saya berjaya ke Q2. Pada FP1 dan Latihan, saya rasa ada keyakinan dengan jentera dan setiap pusingan saya dapat buat yang terbaik di litar ini.
“Apa-apa pun ada perkara lain yang perlu saya tingkatkan lagi dan saya akan buat yang terbaik pada sesi kelayakan esok,” katanya.
Pelumba Sepanyol, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) menduduki tempat kedua dengan catatan 2:03.372s, manakala rakan sepasukannya, David Munoz melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi masa 2:03.443s.
Pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima selepas mencatat masa 2:03.561s dan turut layak ke-Q2.
Kejayaan menembusi kelompok 14 terbaik itu membolehkan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan mengelak laluan sukar menerusi Q1, sekali gus memberinya peluang untuk memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi sesi kelayakan utama esok.
Hakim Danish meneruskan momentum positif tersebut selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada GP Malaysia di Sepang, minggu lalu.
Sesi kelayakan Q2 esok bakal menjadi medan penting buat Hakim Danish untuk memperbaiki catatan masa dan memburu petak permulaan terbaik sebelum turun beraksi dalam perlumbaan utama GP Qatar, Ahad ini. – KOSMO! ONLINE
















