PERTAMA kali terjun ke dunia lakonan, Amirah Razak kini muncul sebagai heroin Amir Ahnaf menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 5 November.

‘Saya pulangkan kepercayaan dengan hasil lakonan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKAR buat seorang pelakon baharu menempatkan diri dalam industri perfileman, apatah lagi apabila perlu membuktikan kemampuan di tengah-tengah barisan pelakon berpengalaman dan nama besar.

Namun, bagi Amirah Razak peluang membintangi filem Baga: Esok Untuk Siapa bukan sekadar ruang memperkenalkan diri, sebaliknya amanah besar yang perlu dibalas dengan kemampuan lakonan terbaik.

Macam mimpi

Menggalas watak Melur, Amirah atau nama sebenarnya Nur Amirah Haisyah Abdul Razak, 27, mengakui seperti dalam mimpi apabila dipilih menyertai produksi arahan Ariff Zulkarnain melihatkan reputasi barisan pelakon lain yang turut menjayakan filem berkenaan.

Katanya, tanggungjawab tersebut membuatkan dia perlu membuktikan sesuatu agar kepercayaan yang diberikan pihak produksi tidak menjadi sia-sia.

“Sejujurnya, sampai sekarang saya masih tidak percaya dapat peluang ini. Apabila sudah diberikan tanggungjawab, saya perlu buat yang terbaik.

“Saya rasa perlu buktikan sesuatu, kenapa mereka sanggup memilih saya untuk menjadi Melur. Saya kena pulangkan semula kepercayaan itu dengan hasil lakonan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Baga: Esok Untuk Siapa, baru-baru ini.

Mengimbas proses pemilihan, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, dia hanya menerima panggilan telefon daripada pihak Indigo Production sebelum diminta menghadiri sesi penerangan mengenai karakter Melur dan jalan cerita filem terbabit.

Pertemuan santai itu akhirnya membawa kepada pemilihannya sebagai karakter kekasih kepada watak pengedar dan penagih dadah, Jani lakonan Amir Ahnaf.

Bagaimanapun, Amirah pada awalnya menyangka projek berkenaan hanya sebuah produksi indie berskala kecil sebelum menyedari nama besar termasuk Wan Hanafie Su.

Bagi memastikan watak Melur dapat diterjemahkan dengan baik, anak jati Johor itu menjalani persiapan lebih sebulan termasuk latihan lakonan dan kelas dialek Terengganu.

“Perbezaan antara Melur dengan diri saya sendiri sangat besar. Ada keputusan yang dibuat Melur dalam filem ini sebenarnya bukan perkara yang saya setuju.

“Jadi, proses memahami watak itu mengambil masa dan agak berat. Namun, dengan bantuan jurulatih lakonan, Abang Wan, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Kenal Amir

Selain persiapan teknikal, Amirah menganggap sokongan rakan lakon seperti Amir dan Wan Hanafi Su sebagai antara faktor yang membantunya mengharungi cabaran sepanjang penggambaran.

Dia juga enggan melakukan kesilapan sehingga dipandang rendah pelakon lain, sekali gus menjadikan perkara itu pembakar semangat untuk bekerja lebih keras.

Menariknya, hubungan Amirah dengan Amir bukan bermula ketika mereka dipertemukan dalam filem berkenaan kerana kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman universiti.

Amir juga juniornya pernah menyaksikan beberapa pementasan teater dibintangi sebelum mendapat peluang dalam filem berkenaan.

Selain berlakon dalam beberapa iklan termasuk iklan Aidilfitri, dia turut pernah bekerja di belakang tabir bagi memahami selok-belok penerbitan.

“Tidak dinafikan populariti dan jumlah pengikut media sosial kadangkala menjadi antara pertimbangan pihak penerbit, namun saya percaya bakat baharu tetap mempunyai ruang untuk menyerlah.

“Biarpun pernah berdepan dilema apabila jumlah pengikut media sosial tidak ramai yang membuatkan saya tertanya-tanya sama ada perkara itu menjadi penghalang untuk memperoleh tawaran lakonan, akhirnya saya sedar angka itu bukan segala-galanya,” katanya.

Filem yang menyaksikan Syafiq Yusof dan Syafiq Kyle sebagai penerbit eksekutif itu ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 5 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN