SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 96.2 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa, Mohd Khairul A’zami Mohd Nazeri, 23, yang bekerja sebagai buruh kampung meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Seorang lagi penunggang motosikal cedera parah, manakala pemandu treler berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 23 tahun dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani sebelum cuba berhenti untuk berteduh di bawah jejambat ketika hujan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu dipercayai bergesel ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain yang berhenti di bawah jejambat tersebut.
Katanya, kedua-dua motosikal tersebut kemudian bergesel dengan bahagian sisi sebuah treler yang berada di lorong sama sebelum penunggangnya terjatuh ke bawah kenderaan berat itu lalu digilis dan diseret.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
“Mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulans untuk menerima rawatan. Mayat seorang lagi mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, saringan air kencing pemandu treler didapati negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
















