fbpx
Rajinikanth.

Jailer 2 peluang Rajinikanth kembali ‘mengganas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FILEM Jailer pernah mencetuskan  fenomena tiga tahun lalu, kali ini naskhah sarat aksi itu kembali muncul dengan sekuel dinantikan ramai, Jailer 2 yang turut menonjolkan kehebatan lakonan superstar, Rajinikanth.

Lebih lima dekad mengabdikan diri dalam arena perfileman, bintang berusia 75 tahun itu membuktikan pengaruhnya masih ampuh apabila naskhah sambungan terbabit menjadi filem ke-172 lakonannya.

Sekali gus, filem arahan Nelson Dilipkumar terbitan Sun Pictures yang ditayangkan di Malaysia bermula 15 Oktober lalu padat aksi, babak mendebarkan selain diselitkan unsur humor.

Begitupun, kekuatan Jailer 2 bukan hanya bersandar pada nama besar Rajinikanth, sebaliknya turut diperkukuh kekuatan plot selain sentuhan muzik  komposer terkenal India, Anirudh Ravichander.

Kesemua faktor ini menjadi elemen penting dalam membina momentum filem berkenaan memandangkan seleksi lagu serta skor latar yang dramatik membantu meningkatkan intensiti setiap babak, selain menyuntik aura tersendiri kepada kemunculan superstar di layar perak.

Bagi memberikan pengalaman lebih imersif kepada penonton, Jailer 2 turut ditayangkan dalam format IMAX, 4DX dan Dolby Atmos di pawagam terpilih di seluruh negara.

Kelebihan itu turut membolehkan peminat menikmati aksi serta kesan bunyi filem terbabit dalam suasana lebih mengasyikkan.

Di sebalik kemeriahan tayangan, usaha membawa Jailer 2 lebih dekat kepada penonton tempatan turut menyaksikan pengedar rasminya di Malaysia, Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., melancarkan beberapa inisiatif promosi berskala besar.

Ulangi impak

 

Antara pendekatan mencuri perhatian adalah kempen menampilkan kereta api yang dihias khas dengan imej Jailer 2, sekali gus memperlihatkan usaha kreatif memperluas promosi filem Tamil di luar kaedah pengiklanan konvensional.

Malik Streams Corporation dalam satu kenyataan, berkata inisiatif itu disifatkan sebagai pendekatan sulung seumpamanya bagi promosi filem Tamil di Malaysia.

Pada masa sama, pihaknya mahu membuka ruang kepada strategi pemasaran yang lebih kreatif untuk mendekati khalayak.

“Menariknya Jailer 2 juga menandakan filem kelima lakonan Rajinikanth yang diedarkan Malik Streams Corporation di negara ini, sekali gus mencerminkan kesinambungan hubungan syarikat ini dengan karya bintang yang sinonim dengan industri perfileman India.

“Dengan gabungan nama besar Rajinikanth, sentuhan pengarah Nelson serta muzik Anirudh, Jailer 2 diharap  membawa harapan untuk mengulangi impak pendahulunya.

“Malah pada masa sama mengukuhkan lagi kedudukan bintang mega terbabit sebagai antara figura paling berpengaruh dalam perfileman Tamil,” katanya.

Bagi peminat yang membesar dengan aksi dan gaya ikonik Rajinikanth, kemunculan semula ini bukan sekadar menyaksikan kesinambungan sebuah kisah, malah menjadi ruang kembali menikmati pesona bintang yang terus menguasai perhatian penonton merentas generasi.

Jailer 2 mengisahkan pesara pegawai penjara, Tiger Muthuvel Pandian  Rajinikanth) yang terpaksa kembali berdepan dengan masa silamnya.

Dia terpaksa menggunakan kekerasan demi melindungi keluarga yang masih berduka akibat kematian anak lelakinya  juga pegawai polis.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN