Usia senja sering dibayangkan sebagai fasa kehidupan yang tenang dan membahagiakan. Namun, kemerosotan kesihatan, kehilangan insan tersayang serta kesunyian boleh menyebabkan kehidupan warga emas semakin hambar.
Lebih membimbangkan, perubahan emosi tersebut mungkin petanda kemurungan yang tidak disedari oleh diri sendiri mahupun ahli keluarga.
Isu ini wajar diberikan perhatian ketika Malaysia mengalami penuaan penduduk yang pesat.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 merekodkan prevalens kemurungan sebanyak 3.1 peratus dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas.
Bagaimanapun, kajian lain menunjukkan angka itu mungkin mencecah 28 peratus.
Jurang tersebut mungkin berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai gejala kemurungan, selain rasa malu mendapatkan bantuan.
Pakar Psikologi Klinikal merangkap Ketua Jabatan di IMU University, Dr. Serena In berkata, peningkatan usia hadir bersama pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan, kelemahan fizikal dan kehilangan keupayaan untuk berdikari.
Menurutnya, kesunyian, pengasingan sosial, kehilangan pasangan serta perubahan kesihatan akibat strok atau kanser boleh mencetuskan gejala kemurungan.
“Ini adalah situasi lazim dihadapi warga emas. Memandangkan Malaysia kini sedang mengalami penuaan penduduk yang pesat, maka kita perlu memberi perhatian serius kepada usaha untuk membantu warga emas yang mungkin terkesan,” katanya.
Namun, kemurungan tidak semestinya ditunjukkan melalui perasaan sedih.
Kaunselor dan Pensyarah di IMU University, Dr. Chin Hui Sian berkata, kehilangan minat terhadap aktiviti kegemaran, perubahan selera makan dan corak tidur serta kecenderungan mengasingkan diri merupakan antara tanda yang perlu diberikan perhatian.
“Jika perubahan ini berterusan atau menjejaskan kehidupan seharian, individu tersebut mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional,” katanya.
Menurut Dr. Chin, kaunselor boleh menjalankan saringan dan penilaian awal, manakala pakar psikologi klinikal serta pakar psikiatri boleh melakukan penilaian lanjut dan diagnosis mengikut skop amalan masing-masing.
Rawatan mungkin merangkumi kaunseling, terapi psikologi, ubat-ubatan atau gabungan pendekatan itu.
Tambahnya, gejala kemurungan tidak semestinya bermaksud seseorang mengalami kemurungan secara klinikal.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan diagnosis boleh menjadi sukar apabila sesetengah warga emas keberatan menceritakan masalah emosi mereka.
Dr. Chin menasihatkan anak-anak supaya mendekati ibu bapa dengan empati dan rasa hormat, bukannya mengkritik atau memaksa mereka mendapatkan bantuan.
Selain itu, anak-anak disarankan untuk meluangkan masa bersama ibu bapa melalui aktiviti atau hobi yang diminati.
Hakikatnya, semua individu juga akan melalui proses penuaan.
Warga emas masih memiliki kemahiran dan pengalaman berharga untuk dikongsi serta berupaya menyumbang kepada masyarakat.
Justeru, memberikan perhatian dan sokongan kepada mereka penting bagi memastikan kehidupan yang lebih bermaruah dan berkualiti pada usia senja.
















