fbpx
Pejuang pemerkasaan wanita yang juga mangsa keganasan rumah tangga, Vatsala Nair terpilih sebagai 12 finalis Unlock Her Future Prize (UHFP) 2026 di Shanghai, China baru-baru ini.

Finalis pemerkasaan wanita di Shanghai, Vatsala bangkit kerana RM10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA luka yang meninggalkan parut seumur hidup, tetapi bagi Vatsala Nair Manoharan, pengalaman pahit menjadi titik permulaan untuk mengubah kehidupan wanita lain.

Pernah terperangkap dalam perkahwinan toksik selama 16 tahun, dia akhirnya memilih meninggalkan hubungan tersebut pada 2024 demi masa depan lebih baik bersama dua anak lelaki kembarnya.

Keputusan itu membawa Vatsala, 42, ke perjalanan luar biasa hingga terpilih sebagai satu daripada 12 finalis Unlock Her Future Prize (UHFP) 2026 di Shanghai, China anjuran The Bicester Collection baru-baru ini yang mengiktiraf individu dalam aspek pemerkasaan wanita.

Wanita kental asal Teluk Intan, Perak ini mewakili Malaysia menerusi Moms Village Asia, perusahaan sosial yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dengan usaha memperkasa wanita, khususnya mangsa keganasan rumah tangga.

Namun, di sebalik pengiktirafan global itu, tersimpan kisah seorang wanita yang pernah berdepan penderaan fizikal, mental dan kewangan sebelum membina semula kehidupannya dari bawah.

“Saya bukan sahaja mangsa penderaan fizikal dan mental, malah seperti kebanyakan suri rumah, saya turut mengalami ‘penderaan’ kewangan.

“Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa wanita bukan sekadar memerlukan pendapatan, tetapi juga komuniti, sokongan dan ruang selamat untuk memulakan kehidupan semula,” katanya kepada K-Wanita menerusi temu bual eksklusif itu.

Dilahirkan dalam keluarga yang turut menyaksikan pengalaman sukar, Vatsala mengakui pernah melihat bapanya mendera ibunya ketika dia masih kecil.

Pengalaman tersebut menyebabkan dia menganggap penderaan sebagai sesuatu yang biasa berlaku dalam perkahwinan, sebelum memahami hakikat sebenar apabila meningkat dewasa.

VATSALA (kanan) bersama kesemua finalis UHFP 2026 yang berlangsung di Shanghai, China baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, wanita yang memiliki ijazah Biomedicine dari Management and Science University (MSU) itu sebelumnya memegang jawatan sebagai Pegawai Penyelidik Klinikal di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pun begitu, kariernya tidak bertahan lama selepas dia mengambil keputusan untuk berkahwin dan bergelar suri rumah tangga.

Dia melalui perjalanan panjang penuh liku mendapatkan zuriat, termasuk lapan tahun berdepan masalah kesuburan dan 12 kitaran rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

PENANTIANNYA berakhir apabila dia dan suami dikurniakan anak kembar lelaki pada 2015, sesuatu yang sangat diimpikan selepas sekian lama berusaha menjadi seorang ibu.

Bagaimanapun, kebahagiaan bergelar ibu tidak menghalang dirinya daripada berdepan konflik rumah tangga yang semakin menjejaskan kesejahteraan dirinya.

Selain penderaan fizikal dan mental, akuinya dia turut mengalami penderitaan kewangan apabila keperluan asas serta kebebasan menguruskan wang menjadi perkara yang begitu sukar.

VATSALA yang pernah mengalami peristiwa hitam dalam rumah tangga bangkit dan kini banyak membantu memperkasa golongan wanita di negara ini menerusi platform perusahaan sosial Moms Village Asia dan Magic Seed. – THE BICESTER COLLECTION & VATSALA NAIR

Menurutnya, tahun 2018 menjadi titik kesedaran sekali gus perubahan tatkala dia meminta RM10 daripada bekas pasangan untuk membeli makanan, namun tidak diendahkan dengan alasan sudah diberikan minggu sebelumnya.

“Permintaan RM10 itu bukan lagi tentang makanan ataupun nasi lemak serta sirap bandung yang mahu saya beli.

“Ia membuatkan saya berasa sangat kecil dan mula mempersoalkan nilai diri sendiri.

“Saya tertanya-tanya sama ada kebergantungan kewangan menyebabkan saya seolah-olah tidak layak mendapatkan wang untuk keperluan sendiri,” katanya.

Rentetan kejadian itu, Vatsala berjanji untuk memperoleh pendapatan sendiri walaupun jumlahnya hanya RM10 supaya tidak lagi perlu mempersoalkan hak mendapatkan keperluan asas.

Janji tersebut kemudian menjadi inspirasi kepada kempen #10Ringgit yang menggalakkan wanita memulakan usaha menjana pendapatan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Vatsala akhirnya mengambil keputusan meninggalkan perkahwinan selama 16 tahun pada 2024, walaupun menyedari kehidupan sebagai ibu tunggal bakal membawa cabaran tersendiri.

Selepas berpisah, dia perlu menyusun semula kehidupan termasuk memastikan keperluan dua anaknya terus terpelihara tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Akuinya, perjalanan sebagai ibu tunggal bukan mudah, terutama apabila berdepan ketidakstabilan kewangan dan tanggungjawab membesarkan anak.

Malah, dia terpaksa ‘mengeluarkan’ anak-anak dari sekolah antarabangsa dan mendaftarkan mereka di sekolah kerajaan bagi menyesuaikan perbelanjaan keluarga.

Sebelum membangunkan perusahaan sosial, Vatsala turut meneroka perniagaan dari rumah termasuk menghasilkan acuan perut ibu mengandung atau belly casting.

Kemahiran menghasilkan acuan menggunakan kain plaster itu menjadi ruang buatnya menjana pendapatan, selain memberikan kepuasan melalui penghasilan kenangan istimewa buat pelanggan.

Dia pernah menghasilkan kira-kira 190 acuan, sekali gus membuktikan kemahiran yang dibangunkan sendiri boleh menjadi permulaan kepada kehidupan lebih berdikari.

Perniagaan itu kemudian berkembang menerusi Belly Memoirs. selain membina rangkaian sokongan melalui penglibatan dalam komuniti wanita termasuk Thaaimaiyin Ulagam Malaysia Association dan Women’s Aid Organisation.

Berbekalkan pengalaman, Vatsala bersama rakannya yang juga pengasas bersama, Roselin Das membangunkan Moms Village Asia Sdn. Bhd. pada 2018 sebagai platform memperkasa wanita menerusi keusahawanan dan sokongan komuniti.

“Organisasi ini memberi tumpuan kepada wanita yang memerlukan peluang membina pendapatan, meningkatkan kemahiran serta mendapatkan semula keyakinan selepas melalui pengalaman hidup yang mencabar.

“Antara pendekatannya termasuk latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, pembangunan kemahiran digital dan pembinaan rangkaian sokongan sesama wanita. Moms Village Asia turut membangunkan komuniti digital yang membolehkan wanita mendapatkan akses kepada pengetahuan dan peluang tanpa semestinya meninggalkan tanggungjawab keluarga,” katanya.

Platform tersebut mempunyai kira-kira 15,000 ahli dan telah memberi manfaat kepada hampir 1,000 wanita menerusi pelbagai program latihan.

Moms Village Asia turut menerima sokongan Hasanah Social Enterprises Fund pada 2024 bagi membantu memperkukuh usaha perusahaan sosial berkenaan.

Bagi Vatsala, membantu wanita bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, tetapi memastikan mereka mempunyai sumber dan kemampuan untuk membuat keputusan sendiri.

Usaha memperluas peluang ekonomi wanita diteruskan menerusi RISE Women Entrepreneurship Incubator Programme 2026 yang diperkenalkan Moms Village Asia dengan sokongan Fujitsu Sekinin Fund.

Program itu menyediakan latihan asas perniagaan, literasi kewangan, pemasaran digital, bimbingan dan akses jaringan perniagaan bagi membantu peserta membina perusahaan lebih mampan.

Meneruskan cerita, usaha pemerkasaan wanita itu turut berkembang menerusi Magic Seed, perusahaan sosial yang menghasilkan hadiah korporat mesra alam menggunakan kertas berbenih.

Idea tersebut menggabungkan dua matlamat utama iaitu mengurangkan pembaziran kertas dan membuka peluang pendapatan kepada wanita menerusi penghasilan produk.

Antara produknya termasuk kad ucapan, penanda buku, pensel dan lain-lain.

“Konsep ini memberikan kehidupan baharu kepada kertas terpakai yang diproses menjadi bahan berguna, sekali gus menghubungkan amalan ekonomi kitaran dengan pembangunan sosial.

“Lebih menarik, Magic Seed turut menyediakan ruang kepada usahawan wanita dan pengusaha dari rumah memasarkan produk serta memperoleh pendapatan melalui penglibatan dalam proses pengeluaran.

“Pendekatan ini membolehkan wanita menjana pendapatan secara lebih fleksibel tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab menjaga anak dan keluarga,” ujarnya.

Usaha itu turut mendapat pengiktirafan apabila Magic Seed meraih tempat ketiga dalam SME Bank Sandbox 2023 serta disenaraikan dalam kelompok 10 terbaik IKEA Social Entrepreneurship pada 2025.

Lebih membanggakan, Magic Seed menggunakan semula lebih 1.2 tan kertas terbuang sekali gus mewujudkan empat peluang pekerjaan sepenuh masa dan melibatkan 31 wanita dalam peluang kerja sambilan.

Komitmen Vatsala terhadap pemerkasaan wanita telah membuka peluang buatnya memperkenalkan model perusahaan sosial Malaysia kepada komuniti antarabangsa menerusi UHFP 2026 di Shanghai baru-baru ini.

Edisi kali ini merupakan pengembangan pertama program berkenaan ke rantau Asia Timur dan Asia Tenggara dengan penglibatan usahawan wanita yang menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran masyarakat.

Para finalis turut mengikuti program pembangunan keusahawanan dan latihan intensif bersama New York University Shanghai sebelum membentangkan usaha masing-masing kepada panel penilai.

“Menerusi Moms Village Asia dan Magic Seed, saya mengetengahkan pendekatan yang menghubungkan kelestarian alam sekitar dengan kebebasan kewangan wanita. Penyertaan ini membuka ruang untuk saya memperluas jaringan profesional, mendapatkan bimbingan dan meneroka peluang kerjasama bagi mengembangkan impak perusahaan sosial.

“Walaupun tidak muncul sebagai pemenang, pengiktirafan sebagai finalis antarabangsa tetap menjadi pencapaian bermakna dan peluang keemasan buat saya serta usaha yang dibangunkan di Malaysia,” katanya yang tidak pernah menyangka mampu sampai ke tahap itu.

Antara impian jangka panjang Vatsala termasuk membangunkan dana impak daripada hasil jualan Magic Seed bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada wanita yang berdepan krisis kewangan.

Dia turut mengimpikan sebuah kediaman selamat untuk mangsa keganasan rumah tangga yang menyediakan latihan keusahawanan, kemahiran pemasaran digital dan sokongan pemulihan.

Bagi Vatsala, pengalaman silam bukan sesuatu yang perlu disembunyikan, sebaliknya menjadi peringatan bahawa setiap wanita berhak membina kehidupan yang lebih baik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN