SEPANG – Dua anggota polis yang mendakwa dikasari dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mengemukakan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Berdasarkan ​kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili kedua-dua anggota polis tersebut, saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang Selangor semalam.
Menerusi tindakan undang-undang itu dua anggota polis tersebut menamakan Mohd. Shuhaily sebagai defendan tunggal tanpa melibatkan pihak Kerajaan Malaysia.
​”Hal ini adalah dengan mengambil kira bahawa kejadian kekasaran tersebut adalah semata-mata suatu perbuatan Datuk Shuhaily atas kapasiti dirinya sendiri tanpa melibatkan pihak kerajaan Malaysia,” kata kenyataan itu.
​Dalam tuntutan tersebut, kedua-dua anggota polis berkenaan mengemukakan empat kausa tindakan terhadap defendan, iaitu tort penahanan salah, tort serangan, tort bateri dan tort fitnah.
Tambah kenyataan itu, plaintif-palintif percaya
percaya bahawa tindakan undang-undang adalah merupakan forum yang tepat untuk mendapatkan keadilan,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd. Shuhaily selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berkenaan dalam insiden di KLIA pada 28 September lalu.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd. Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis masing-masing terhadap Mohamad Faiz Saman, 40 dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan yang mana RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan. – KOSMO! ONLINE
















