GOMBAK – Cadangan pelakon dan pelawak legenda, AR Badul, mengenai permohonan dana khas bagi penerbitan karya bersiri yang memberi fokus kepada artis veteran akan dipertimbangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menurut Pengerusinya, Datuk Hans Isaac, pihaknya akan membawa permohonan berkenaan ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan untuk perbincangan lanjut.
“Cadangan yang dikemukan oleh AR Badul itu sangat baik. Saya akan bawa perkara itu kepada jawatankuasa untuk berbincang.
“Kita ada dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin boleh sesuaikan dana untuk format drama bersiri,” katanya ketika ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 di sini, semalam.
Tambahnya lagi, format drama bersiri dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelakon veteran untuk berlakon dalam satu-satu naskhah kerana mampu memberi impak yang lebih luas.
“Jika kita jadikan projek drama bersiri, mungkin 10 hingga 15 orang pelakon veteran dapat terlibat sekali gus dalam satu projek.
“Bila ada cadangan yang bagus, kita jangan buang, sebaliknya kita ambil dan cuba laksanakannya. Kita akan cuba usulkan projek drama bersiri 30 episod untuk dibintangi oleh pelakon-pelakon veteran tanah air.
“Sebelum ini menerusi projek hasil Dana STAR, saya lihat pelakon-pelakon veteran ini begitu bersemangat apabila berada si set penggambaran. Melihat situasi tersebut membuatkan saya gembira dan terharu sampai menangis,” jelasnya.
Terdahulu, AR Badul memberi cadangan agar dana bagi drama bersiri membabitkan barisan pelakon veteran dapat diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkarya.
Katanya, meskipun masih mempunyai tawaran telefilem yang memberi peluang kepada pelakon veteran, namun watak yang ditawarkan agak terhad.
“Jika kita wujudkan drama bersiri yang mempunyai episod panjang, ruang itu menjadi lebih luas. Puluhan pelakon veteran dapat peluang mengikut kesesuaian jalan cerita. Tidaklah asyik-asyik jadi watak mak atau bapa sahaja dan muncul dalam beberapa babak sahaja.
“Penggiat seni veteran ini jiwanya kental dan masih mempunyai kudrat serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.
“Kami sangat menghargai segala bentuk sokongan dan keprihatinan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni adalah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan,” ujarnya.
Pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 yang berlangsung semalam, AR Badul dan Norlia Ghani diundang dalam forum dikendalikan Fedtri Yahya selaku moderator.
Badul dan Norlia diundang sebagai tetamu sempena menjelangnya Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 yang bakal berlangsung pada 21 November depan. – KOSMO! ONLINE
















