fbpx
Gambar hiasan

5.4 juta terima STR Fasa 4 mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyalurkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November depan bagi penerima sedia ada.

Manakala, kumpulan penerima baharu pula dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bantuan itu bermula 16 November depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang sambutan Deepavali, beliau berharap penyaluran STR Fasa 4 dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima.

Selain itu, katanya, penyaluran bantuan itu juga dapat membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.

“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama.

“Oleh itu, melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), kerajaan mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan agar kita semua dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermaruah.

“Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini tadi.

Untuk maklumat, daripada jumlah penerima itu, seramai empat juta merupakan penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi membabitkan warga emas tiada pasangan.

Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Kementerian Kewangan berkata, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.

Manakala, penerima tanpa akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.

“Penerima terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk tahun 2027,” jelasnya.

Pengemaskinian ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima.

“Penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Peruntukan keseluruhan STR dan Sara bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN