JOHOR BAHRU – Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga bukan sahaja memerlukan persediaan mental dan fizikal, malah wang mencecah puluhan ribu ringgit untuk perbelanjaan majlis perkahwinan.
Pasangan mempelai, Mohamad Badrul Amin Ashuri, 30, dan Nurul Atiqah Farhanah Mohd. Zaidi, 27, memperuntukkan kira-kira RM69,000 bagi majlis akad nikah dan bersanding di Terengganu serta majlis bertandang di negeri ini.
Walaupun mempunyai jalan mudah dengan membuat pinjaman bank, Badrul Amin yang bekerja sebagai penyelia tapak binaan memilih untuk mengumpul wang perbelanjaan kahwin sejak awal sebelum dia dan pasangannya bertunang.
“Kami mengumpul wang gaji sedikit demi sedikit, malah ada persiapan yang dilakukan sendiri bagi menjimatkan kos. Sejak awal saya dan isteri bersepakat untuk tidak membuat pinjaman bank.
“Majlis akad nikah dan bersanding di Terengganu pada Mei lalu menelan belanja RM42,000, manakala untuk majlis bertandang di Johor pada bulan lalu pula kami peruntukkan sebanyak RM27,000.
“Antara perbelanjaan besar adalah pembelian dua ekor lembu dan kos katering untuk 2,500 tetamu serta wang hantaran,” katanya kepada Kosmo!.
Lain-lain perbelanjaan adalah pelamin, pakaian pengantin, cenderahati dan fotografi.
Badrul Amin memaklumkan, niat mereka bukan untuk bermewah, sebaliknya bagi memastikan urusan perkahwinan di kedua-dua belah pihak berjalan dengan lancar.
Pemuda itu turut menasihatkan bakal raja sehari supaya menyimpan wang sejak awal, menetapkan bajet mengikut kemampuan dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar tidak dibebani hutang selepas berumah tangga.
Sementara itu, di Langkawi, bakal pengantin, Amin Syakir, 21, memperuntukkan belanja besar untuk hidangan tetamu.
“Untuk majlis akad nikah, jemputan tidak ramai jadi perbelanjaan dianggarkan sekitar RM2,000 kerana keluarga pengantin perempuan akan memasak sendiri juadah.
“Bagi majlis sanding pada tahun hadapan, kos makanan bertambah iaitu sekitar RM12,000 untuk 1,000 tetamu,” katanya yang merancang mengadakan satu majlis untuk kedua-dua belah pihak.
Selain itu, katanya, perbelanjaan lain yang diperlukan adalah persalinan pengantin dan khidmat fotografi.
Semalam Kosmo! melaporkan lebih separuh individu bujang memilih untuk hidup solo kerana ketiadaan calon yang sesuai yang mewakili 50.6 peratus, diikuti faktor kewangan sebanyak 47.2 peratus.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) turut mendedahkan purata perbelanjaan minimum perkahwinan meningkat kepada RM27,332 berbanding RM20,047 sedekad lalu.
















