fbpx
MOHD. BAKRI menghasilkan kolam di pelbagai tempat.

Seni kolam Deepavali sentuhan lelaki Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAMBUTAN Deepavali yang diraikan masyarakat beragama Hindu setiap tahun bukan sahaja sinonim dengan cahaya lampu dan kemeriahan suasana, ia turut dihiasi pelbagai tradisi yang sarat dengan nilai budaya.

Antaranya ialah seni kolam atau rangoli yang lazimnya dihasilkan di hadapan rumah sebagai simbol menyambut tetamu serta membawa suasana ceria dan harmoni sempena perayaan berkenaan.

Bagi Mohd. Bakri Talib, minat terhadap keindahan seni menjadi titik permulaan menceburi dunia penghasilan rangoli sehingga aktiviti yang pada awalnya sekadar suka-suka kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan.

Katanya, keunikan corak serta gabungan warna yang menyerlah bukan sahaja mencantikkan hiasan, malah turut menarik minatnya untuk mencuba menghasilkan kolam sendiri.

“Setiap kali sambutan perayaan Deepavali, kita pasti akan melihat pelbagai hiasan kolam dalam pelbagai saiz dan motif. Jadi, sekitar 2006 saya mula aktif menyertai pertandingan yang dianjurkan di pusat beli-belah untuk menimba pengalaman.

“Tak sangka apabila saya berjaya memenangi pertandingan dan mengalahkan peserta berketurunan India, secara tidak langsung menjadi pendorong untuk saya terus melibatkan diri dalam aktiviti ini,” katanya kepada K-Variasi.

Media sosial menjadi ‘sekolah’ buat mempelajari teknik penghasilan kolam, selain menjadikan hasil karya yang dipamerkan di pusat beli-belah sebagai rujukan untuk memperbaiki rekaannya.

Kolam yang dihasilkannya berwarna-warni.

Bukan sekadar menyertai pertandingan, minat tersebut akhirnya membuka peluang kepadanya menerima tempahan daripada pelbagai pihak termasuk pejabat dan pasar raya.

“Dalam menghasilkan kolam, saya menggunakan beras yang dihancurkan sebelum diwarnakan sendiri mengikut reka bentuk dan keperluan sesuatu pertandingan atau tempahan.

“Selain beras, saya turut menggunakan tepung suji dan tepung berwarna bagi menambahkan tekstur serta seri pada hasil karya, manakala glitter dan perada berwarna emas atau perak digunakan sebagai sentuhan akhir.

Katanya, tempoh menyiapkan sesebuah kolam pula bergantung kepada saiz kolam sama ada kecil sekitar 4×4 kaki, sederhana (10×10) atau besar (16×16).

Lelaki yang merupakan guru sekolah dari Kuala Lumpur ini sering mendapat tempahan menghasilkan kolam.

Kolam bersaiz kecil boleh disiapkan dalam tempoh masa satu hingga dua jam, manakala reka bentuk yang lebih besar memerlukan masa lebih lama.

Bagi karya sempena Deepavali katanya, warna seperti hijau gelap, jingga, kuning dan merah sering menjadi pilihan kerana mampu menyerlahkan suasana perayaan.

Namun, cabaran terbesar yang dihadapi Mohd. Bakri ialah pengurusan masa kerana dia turut bekerja sebagai guru di Kuala Lumpur.

Oleh itu kebanyakan persiapan kolam dilakukan selepas waktu persekolahan, pada hujung minggu atau pada waktu malam bagi memastikan tempahan tidak mengganggu tugas hakiki.

Lebih mencabar apabila terdapat tempahan yang bertindih atau pertandingan berlangsung pada tarikh sama, sekali gus memerlukannya membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan komitmen.

“Saya juga sering memuat naik hasil seni di media sosial dan bersyukur kerana masyarakat menghargai bakat dan hasil kerja saya.

“Walaupun saya berlainan bangsa, tetapi saya gembira apabila berpeluang menghidupkan sambutan Deepavali sekali gus membuatkan saya berasa sangat bangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN