BINTULU – Kehilangan bapa ketika berusia lima tahun dan ibu pada usia 14 tahun tidak mematahkan semangat Nazatul Mazwin Muhammad Daud, 20, untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam Diploma Perikanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Graduan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) itu berkata, kejayaan menamatkan pengajian amat bermakna buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua insan tersayang tidak lagi berpeluang menyaksikan pencapaiannya.
“Jika ibu dan ayah berpeluang melihat kejayaan saya hari ini, saya percaya mereka pasti terkejut, terharu dan bangga melihat sejauh mana saya telah melangkah.
“Mereka mengenali saya sebagai anak yang manja, penakut dan kuat menangis ketika kecil. Walaupun saya kelihatan kuat ketika berdiri di sini, hanya saya dan Allah SWT yang tahu segala penat lelah serta pengorbanan yang dilalui untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
Nazatul Mazwin berkata, arwah ibunya, Jalifah Ibrahim, menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuknya terus berusaha meskipun terpaksa menempuh pelbagai cabaran hidup.
“Selepas ayah meninggal dunia, ibu berjuang seorang diri menyara kami lima beradik sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap empat, arwah ibu tetap kuat bekerja demi memastikan kami cukup makan dan dapat bersekolah,” katanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang pengajian di UPMS, anak kelahiran Manjung, Perak itu berkata, kehidupan sebagai pelajar perantau mengajarnya untuk lebih berdikari, khususnya dalam mengurus kewangan dan memenuhi keperluan harian.
“Semester pertama merupakan tempoh paling mencabar dan saya perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta belajar mengurus kewangan sendiri. Ketika itu, saya belum ada pendapatan tambahan dan sering bimbang tentang perbelanjaan.
“Jadi, saya mencari pekerjaan yang boleh dilakukan di kolej tanpa perlu keluar, antaranya mengambil tempahan dan menghantar makanan kepada pelanggan,” katanya.
Nazatul Mazwin berkata, cabaran hidup semakin terasa ketika menjalani latihan industri selama tiga bulan apabila terpaksa membahagikan masa antara latihan dan pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan.
“Saya perlu bekerja sambilan sehingga pukul 12 tengah malam. Pada hujung minggu yang sepatutnya menjadi waktu berehat, saya gunakan untuk bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah menyesali kesukaran yang dilalui kerana pengalaman tersebut menjadikannya lebih tabah, berdikari dan tidak mudah berputus asa.
“Saya ingin menjadi seorang anak dan adik yang berjaya, mampu berdikari serta membina masa depan sendiri tanpa menyusahkan sesiapa.
“Itulah yang menjadi kekuatan saya untuk terus bertahan walaupun terpaksa mengorbankan masa rehat dan keselesaan diri,” katanya.-KOSMO! ONLINE
















