fbpx
Mohamad ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra Bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Jangan buat pembelian panik, kita belum sampai tahap seperti di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Orang ramai tidak perlu panik atau membuat pembelian barangan makanan secara berlebihan susulan kebimbangan terhadap fenomena Super El Nino kerana bekalan makanan negara ketika ini masih stabil dan mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, situasi bekalan makanan negara masih terkawal dan belum mencapai tahap krisis seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah.

Katanya, kementerian bagaimanapun sentiasa mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas berpanjangan yang berpotensi menjejaskan sektor pertanian, khususnya tanaman padi, sayur-sayuran dan perikanan pantai.

“Justeru, orang ramai tidak perlu panik kerana bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi. Kita belum sampai ke tahap seperti di Eropah (krisis makanan).

“Kementerian sedang memantau perubahan cuaca dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memastikan persediaan dapat dilakukan lebih awal,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra Bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad memberitahu, pihaknya bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan di Kedah sekiranya keadaan cuaca memerlukan tindakan tersebut.

Katanya, langkah itu penting berikutan sumber bekalan air di negeri berkenaan bergantung kepada empangan, termasuk Empangan Pedu.

“Ketika ini, paras air di tiga empangan di Kedah masih berada pada tahap baik, namun keadaan boleh menjadi kritikal sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh panjang.

“Jika keadaan itu berlaku, kita akan cuba melaksanakan pembenihan awan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya bekalan air mencapai tahap kecemasan, keutamaan akan diberikan kepada kegunaan domestik termasuk bekalan air minuman, manakala pengairan sawah mungkin terpaksa ditangguhkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN