PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat berpangkat Datuk kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa anggota lain-lain pangkat dan pegawai polis sejak 2020.
Rasuah itu dibuat sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram dijalankan.
Perintah reman selama empat hari bermula 2 hingga 5 November terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya kelmarin.
Kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki (pemilik syarikat) dan dua orang wanita yang merupakan seorang guru tuisyen dan seorang pegawai pemasaran berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor dan Johor.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 hingga kini.
“Kesemua suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah dan memberikan wang rasuah kira-kira RM1 juta kepada beberapa orang anggota lain-lain pangkat dan pegawai polis sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram di sekitar Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Melalui siasatan dijalankan, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama polis telah mengeledah beberapa lokasi terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek,” katanya hari ini.
Dalam operasi tersebut, sumber berkata, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000 selain empat unit telefon bimbit serta satu unit komputer riba.
“Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 20 akaun bank persendirian serta sembilan akaun bank syarikat yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
















