BERLIN – Pengeluar kereta premium Jerman, BMW, telah mengeluarkan amaran keuntungan keduanya bagi tahun kewangan semalam, atas faktor kos berkaitan pengurangan pekerja serta peningkatan fasa pengeluaran.
Menurut, BMW margin keuntungan teras bagi perniagaan automotifnya kini dijangka berada antara negatif 0.5 peratus hingga positif 0.5 peratus pada 2026.
Ini bermakna syarikat tersebut berisiko mencatatkan kerugian operasi dalam aktiviti utamanya.
Angka itu berbanding margin keuntungan teras antara satu hingga tiga peratus yang dijangkakan oleh pengeluar berpangkalan di Munich itu pada Jun lalu, yang sendirinya merupakan pengurangan daripada sasaran awal tahun.
Seperti pesaingnya, BMW bergelut dengan persaingan sengit dan kejatuhan permintaan di China, pasaran kereta terbesar di dunia.
Pesaing lain seperti Mercedes-Benz dan Volkswagen juga masing-masing telah mengeluarkan amaran keuntungan pada tahun ini dan, seperti BMW, merancang pengurangan pekerja demi mengurangkan kos operasi.
Dalam amaran terbaharunya, BMW menyatakan bahawa program pemberhentian kerjanya berjalan lebih pantas daripada jangkaan, sekali gus menyebabkan pembayaran pampasan penamatan perkhidmatan yang lebih besar daripada anggaran bagi suku akhir tahun ini.
“Syarikat berhasrat untuk memanfaatkan momentum daripada program penstrukturan semula tenaga kerja ini bagi mempercepatkan penjajaran semula organisasi dan proses.
“Pengurangan jawatan pengurusan akan dilaksanakan dengan lebih pantas berbanding apa yang diumumkan sebelum ini,” katanya. – AFP
















