fbpx

PRN Melaka: Guna jentera kerajaan bukan masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Dakwaan membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar, berhubung penggunaan premis dan jentera kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai alasan yang dicari pihak terdesak.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu permasalahan memandangkan pihak lain juga mengadakan majlis yang dihadiri menteri dan timbalan menteri masing-masing.

Sebaliknya, beliau berharap semua pihak berkempen secara baik dan bersih, selain menghormati pilihan rakyat tanpa membangkitkan isu yang boleh mencetuskan polemik tidak perlu.

“Kalau satu kumpulan itu merasa terdesak, mereka akan mencari pelbagai alasan, mencari pelbagai perkara kerana mungkin mereka sangat terdesak.

“Saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam sebuah negara demokrasi, semua pihak perlu bertanding mengikut peraturan dan tidak menjadikan perkara yang tidak perlu sebagai alasan untuk memperbesarkan sesuatu isu.

“Saya harap kita berkempen secara baik, berkempen dengan cara bersih. Rakyat telah ada pilihan masing-masing.

“Jangan disebabkan oleh perkara yang buruk atau perkara yang menjadi ‘titik bengik’ untuk dijadikan sebagai alasan yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, segala polemik yang timbul sepanjang tempoh kempen tidak seharusnya mengalih perhatian daripada perkara lebih penting, iaitu memberi peluang kepada rakyat menentukan pilihan mereka.

Katanya, arah sokongan pengundi hanya akan diketahui apabila proses pengundian berlangsung pada 14 November ini.

 

Semalam, Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Khaidirah, yang juga dikenali sebagai Dira, atas dakwaan menyalahgunakan jentera dan premis kerajaan ketika berkempen.

 

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin oleh wakil PH, Siti Aishah Shaik Ismail, itu merangkumi dakwaan penggunaan Kompleks JAPERUN Rim bagi majlis penyampaian sumbangan Deepavali, bakul makanan yang tertera logo Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), selain kehadiran pegawai beruniform MPJ yang memaparkan imej calon.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN