fbpx
PARA PELAJAR smka tok bachok, Kelantan yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran diraikan dalam sebuah majlis baru-baru ini.

171 pelajar SMKA Tok Bachok khatam hafaz al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA sebahagian besar remaja lain masih lena dibuai mimpi, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Kelantan sudah memulakan perjuangan mereka dengan mengulang bacaan ayat demi ayat suci al-Quran seawal pukul 4.30 pagi.

Dalam suasana dinihari yang sunyi, mushaf menjadi teman setia mereka untuk mengukuhkan hafazan.

Manakala disiplin dan pengurusan masa menjadi kunci bagi memastikan tuntutan menghafaz al-Quran tidak mengganggu pembelajaran akademik.

Rutin yang berulang pada setiap hari itu akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 171 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran menerusi Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), sekali gus mencapai 100 peratus bagi ‘kohort’ berkenaan pada Majlis Khatam al-Quran Perdana 202, baru-baru ini.

Pencapaian itu bukan sekadar kejayaan menghabiskan hafazan, sebaliknya membuktikan bahawa pendidikan berteraskan al-Quran mampu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik apabila disokong komitmen pelajar, bimbingan guru dan ibu bapa.

Bagi salah seorang pelajar, Ahmad Aqil Nabhan Zaidi, 17, rutin harian yang padat menuntut pengurusan masa teratur bagi memastikan hafazan dan pembelajaran akademik dapat dilaksanakan dengan seimbang.

Menurutnya, hari persekolahan mereka bermula dengan sesi hafazan pada awal pagi, sebelum mengikuti pembelajaran akademik pada waktu siang.

“Selepas sesi persekolahan, masa dimanfaatkan untuk murajaah atau mengulang hafazan, beriadah dan menyiapkan tugasan, sebelum meneruskan pengukuhan al-Quran pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui K-Remaja.

Katanya, rutin itu memerlukan disiplin yang tinggi kerana pelajar bukan sahaja perlu menghafaz ayat baharu, malah perlu memastikan hafazan terdahulu terus diingati dan dibaca dengan lancar.

Cabaran tersebut menjadikan pengurusan masa satu kemahiran penting kerana setiap waktu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa mengabaikan keperluan berehat dan menyiapkan tugasan sekolah.

Lebih mengagumkan, salah seorang pelajar, Adib Sufyan Suhaimi, 13, dilaporkan berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh lima bulan 10 hari.

Bagaimanapun, kejayaan menghafaz bukan semata-mata bergantung pada kepantasan, sebaliknya memerlukan pengulangan berterusan supaya ayat yang sudah diingati tidak mudah dilupakan.

Rakannya, Muhammad Fakhrullah Zakaria, 17, pula berkata, bagi memastikan hafazan kekal kukuh, pelajar perlu mengulang bacaan secara konsisten, selain memperdengarkan hafazan kepada guru untuk memastikan kelancaran dan ketepatan bacaan.

“Antara kaedah yang diamalkan adalah talaqqi dan musafahah bagi memperbetulkan bacaan, tasmik untuk memperdengarkan hafazan kepada guru serta murajaah bagi mengukuhkan hafazan terdahulu.

“Program pengukuhan seperti Ithbat Hafazan pula membantu menilai tahap penguasaan pelajar, manakala Kem Munafasah Bil Quran memberi motivasi dan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan kami,” katanya.

Sokongan guru dan ibu bapa menjadi antara elemen penting dalam memastikan perjalanan hafazan para pelajar.

Kejayaan pelajar SMKA Tok Bachok tidak terhenti pada penguasaan al-Quran apabila Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, memperoleh keputusan 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sebelum dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM peringkat Kelantan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok, Datuk Azahar Berahim berkata, pencapaian itu menunjukkan bahawa pelajar yang mengikuti program tahfiz juga berupaya menguasai akademik yang mencabar, termasuk bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurutnya, pendekatan ulul albab yang menggabungkan elemen quranik, ensiklopedik dan ijtihadik bukan sahaja memberi penekanan kepada hafazan al-Quran, malah memperluas pengetahuan serta mengasah kemahiran berfikir serta menyelesaikan masalah.

“Hafazan al-Quran bukan penghalang kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada proses membentuk disiplin dan ketahanan diri dalam menuntut ilmu.

“SMKA Tok Bachok turut mempunyai kisah inspirasi menerusi kejayaan Muhammad Izzuddin Hasmadi daripada suku kaum Temiar di Pos Balar, Gua Musang yang dilaporkan menjadi anak Orang Asli pertama di sekolah ini berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 16 tahun menerusi program sama,” katanya.

Azahar berkata, di sebalik kejayaan 171 pelajar itu, sokongan guru dan ibu bapa menjadi antara elemen penting dalam memastikan perjalanan hafazan dapat dilalui dengan teratur.

Dia berharap, kejayaan itu menjadi permulaan kepada perjalanan lebih panjang untuk memastikan al-Quran terus terpahat dalam jiwa pelajar, bukan sekadar dihafaz, malah dipelihara dan diamalkan sepanjang hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN